Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak yang mendakwa beliau mengatur dan mengetuai pertemuan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak berani menyerang ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang hadir malam tadi.

Dan seperti biasa, kata Ahli Parlimen Sembrong itu, beliau menjadi mangsa.

“Fitnah – I did not arrange the meeting. Dia tak berani serang all the MPs yg hadir so as usual saya jadi mangsa,” katanya dalam pesanan Whatsapp yang dilihat MalaysiaGazette hari ini.

Hishammuddin juga menyatakan kesediaan untuk dibawa ke jawatankuasa displin parti.

“Bawa lah saya ke jawatankuasa disciplin kita tengok siapa yg ckp benar – bring it on !!!” katanya.

Awal hari ini, bekas Menteri Pertahanan itu menerusi ciapan di laman Twitter menafikan tuduhan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bahawa beliau merancang dan mengetuai pertemuan yang turut diserta lebih 20 wakil rakyat BN.

BACA: Tuduhan saya ketuai pertemuan dengan Azmin tidak benar – Hishammuddin

Lokman dalam kenyataannya menuduh bekas Naib Presiden UMNO itu sekali lagi mengkhianati rakyat Malaysia khususnya pengundi di Tanjung Piai.

Malam tadi sekumpulan 22 wakil rakyat BN hadir di kediaman rasmi di Putrajaya dan antara yang dilihat hadir Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor juga Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (Maran).

— MalaysiaGazette