Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas Mesyuarat Biro Politik PKR di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – PKR tidak memberikan tempoh masa buat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan kepada pimpinan parti berhubung perjumpaan sulit antara beliau dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Isnin lalu.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, parti itu masih mahu Azmin memberikan penjelasan menyeluruh mengenai perjumpaan sulit itu yang tidak dimaklumkan kepada pimpinan tertinggi parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pandangan kita masih terbuka untuk dengar daripada beliau penjelasannya. Dan kita akan tunggu. Kita mahu dia datang beri penjelasan.

“Kita tidak berikan tempoh untuk Azmin berikan penjelasan kepada parti,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Biro Politik parti itu di Parlimen, hari ini.

Pada malam Isnin lalu, Azmin mengadakan pertemuan dengan 17 Ahli Parlimen BN di kediaman rasminya di Presint 10, Putrajaya.

Tujuan sebenar perjumpaan itu masih kabur namun ia didakwa berkisar khabar angin mengenai cubaan menghalang usaha memaksa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berundur.

Semalam, Anwar menggesa agar Azmin memberi penjelasan selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen BN dan PKR.

Anwar berkata, pertemuan itu sendiri menimbulkan pelbagai persoalan daripada pihak kerajaan.

Dalam pada itu, Fahmi berkata PKR masih belum putuskan tindakan disiplin terhadap Azmin yang acap kali tidak menghadiri mesyuarat Biro Politik parti itu.

“Setahu Biro Politik, tidak ada lagi tindakan disiplin terhadap Azmin dan isu ini tidak timbul buat masa ini,” katanya.

Azmin dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin hari ini masih gagal menghadiri mesyuarat Biro Politik parti itu yang diadakan setiap minggu. – MalaysiaGazette