Barisan pesawat Max 737 di kawasan kemudahan Boeing di Lapangan Terbang Antarabangsa Grant County, dekat Moses Lake, Washington. foto Agensi

CHICAGO – Boeing telah menerima ‘keyakinan kecil’ terhadap pesawat 737 Max yang bermasalah selepas beberapa syarikat penerbangan menyatakan minat untuk membeli pesawat itu.

Air Astana, syarikat penerbangan Kazakhstan mengumumkan mahu membeli sebanyak 30 buah pesawat 737s untuk penerbangan tambang murah yang baru dilancarkan, FlyArystan.

Pengumuman itu dibuat di Dubai Air Show.

Pesawat 737 Max kini digantung operasinya selepas dua nahas yang mengorbankan 346 orang penumpang Lion Air dan Air Ethopia.

Boeing kini masih membuat penilaian ke atas pesawat berkenaan sebelum menerbangkannya semula.

Tetapi Air Astana hanya menandatangani surat hasrat dan bukannya melakukan tempahan.

Selain Air Astana, syarikat penerbangan SunExpress yang berpangkalan di Turki turut melahirkan minat untuk membeli 10 buah pesawat 737s.

Jun lalu, syarikat induk British Airways, IAG berkata, ia juga mahu membeli pesawat 737 Max. Tetapi tempahan masih belum dibuat.

Awal tahun ini, Boeing menghentikan penghantaran 737 Max bagi pesawat paling larisnya sehingga ia mendapat kelulusan membaiki perisian sistem kawalan penerbangan bagi pesawat berkenaan. – MalaysiaGazette