Dr. Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

SESUNGGUHNYA tidak perlu mana-mana pihak sibuk mengenai peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri. Yang sibuk sangat ni apa hal?

Bukankah Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) tanpa segan silu pergi ke mahkamah jumpa (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan mengajak Anwar untuk bekerjasama menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi tujuan menjatuhkan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebagai perdana menteri kerana tuduhan kleptokrasi rasuah isu 1MDB.

Diringkas cerita, Anwar yang dahulu dipecat oleh Tun M pada tahun 1997 merengkok dalam penjara enam tahun dan menerima aib, tetapi menerima kehadiran Tun M di mahkamah dengan senyuman, bersalaman dengan hati terbuka dan berlapang dada. Luar biasa juga sikap Anwar ini.

Selepas runding itu serta ini termasuk manifesto dan dasar serta jawatan perdana menteri, jika berjaya, dikatakan juga telah dipersetujui bersama bahawa perdana menteri adalah Tun M dan selepas itu Anwar akan mengambil alih jawatan tersebut.

Prinsip pokoknya, Tun M sendiri setuju dan berjanji bahawa Anwar akan menggantikannya sebagai perdana menteri.

Sudah tidak timbul lagi kes Anwar sepertimana beliau kena pecat dulu. Ini jelas. Rakyat pun tahu dan dibawa dalam ceramah serta ucapan kempen Pakatan Harapan (PH) bahawa Anwar akan menjadi perdana menteri selepas Tun M.

Malah PKR dengan murah hati setuju menggunakan simbol partinya untuk semua calon PH.

Cuma yang tidak jelas dan timbul sekarang masa atau tempoh peralihan kuasa. Disebut masa PRU 14 tempoh Tun M jadi perdana menteri adalah selama dua tahun.

Selepas menang disebut pula dua setengah tahun. Ada subsidi setengah tahun. Sekarang timbul pula desakan Tun M jadi perdana menteri sampai cukup penggal.

Apakah Anwar sudah kena kena tipu? Malah ada usaha mahu menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri. Alasan kononnya, Anwar tidak layak dan sebagainya.

Macam-macam usaha dilakukan untuk menghalang Anwar dari menjadi perdana menteri. Ada yang kata akan berlaku gempa bumi atau tsunami jika Anwar diberikan jawatan itu. Pulak dah?

Selain itu, ada yang kata Anwar boneka DAP, tapi Tun M serta rakan-rakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai PH dan bersekongkol dengan DAP, bukankah juga boneka DAP?

Isu DAP ini isu dua kali lima. Begitu juga Pas dahulun pun boneka DAP ketika bersama dalam Pakatan Rakyat (PR).

Maka kini ada dua isu mengenai peralihan kuasa jawatan perdana menteri dari Tun M kepada Anwar.

i. Anwar tetap jadi perdana menteri menggantikan Tun M. Isunya bila? Janji ini tidak boleh padam. Satu Malaysia tahu.

ii. Atau Anwar ditolak jadi perdana menteri dengan cara Tun M habiskan penggal dan bersara sebagai perdana menteri, atau Parlimen dibubar untuk PRU-15. Jika inilah yang berlaku, ianya strategi halus untuk menghalang Anwar menjadi perdana menteri kerana belum tentu PH akan menang PRU-15.

Kenapa timbul isu Anwar tidak layak sekarang, walhal semua sokong persefahaman mengenai jawatan perdana menteri antara Tun M dan Anwar?

Sebelum ini tidak timbul pun alasan kes Anwar kononnya bekas banduan dan sebagainya. Anwar terlebih dahulu bersama DAP termasuk Tun M yang sudah menelan tuduhannya terhadap Anwar sebelum ini.

Masa ‘mengorat’ dulu semua indah, penuh dengan pujuk rayu dan madah pujangga, tetapi bila sudah dapat, semua buruk. Ibarat habis madu sepah dibuang.

Apakah ini semua sandiwara politik? Terserahlah. Masa akan membuktikan atas kekuasan Allah Yang Maha Adil dan Maha Mengetahui.

Ini hanya coretan yang tidak bernilai, tapi makin ‘loya’ dengan permainan politik yang pasti sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya tiba masa jatuh ke tanah juga.

Bagaimanapun, saya cukup yakin serta percaya sebagai pemimpin yang disegani, Tun M akan mengotakan apa yang dikata dan melaksanakan apa yang dijanjikannya.

Sebaik-baik perancangan manusia, perancangan Allah SWT juga yang sempurna. Kita hanya merancang Allah SWT yang menentukannya.

Ya Allah, ampunkan dosa jika coretan ini tidak betul dan berharap kepada yang tidak kena mengena janganlah lebih sudu dari kuah. Coretan ini tidak memihak kepada sesiapa sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Hanya sekadar membentang apa yang benar dan kebenarannya. Ianya hukum politik realiti. – MalaysiaGazette

*Penulis adalah Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, mantan Ahli Parlimen Pasir Mas dan mantan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang terlibat dalam episod isu pemecatan Anwar Ibrahim tahun 1997.

1 Komen

Comments are closed.