Muhammad Kamil Abdul Munim

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim membidas Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari yang mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis berhubung dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ini berkaitan campur tangan Amerika Syarikat dalam usaha menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Kamil mempersoalkan mengapa Fadhli pula dilihat ‘melatah’ apabila laporan polis dibuat untuk meminta dakwaan berkenaan disiasat, sedangkan isu itu menyentuh soal keselamatan, kedaulatan negara dan campur tangan asing dalam urusan politik Malaysia.

“Kenapa anda pula melatah bila laporan dibuat?

“Presiden Pas sendiri membuat dakwaan sebuah kuasa asing pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia. Itu bukan dakwaan kecil,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Kamil, dakwaan berkenaan menjadi lebih serius kerana tawaran itu didakwa dibuat secara langsung kepada Abdul Hadi.

“Jika benar perkara itu berlaku, mengapa tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa dan didedahkan ketika itu?,”  soalnya.

Beliau turut mempersoalkan hujah Fadhli PH tidak sepatutnya mengambil tindakan kerana Abdul Hadi tidak mengaitkan mana-mana pemimpin atau parti dalam gabungan itu.

“Apa yang pelik jika laporan polis dibuat? Apakah kenyataan Presiden Pas langsung tidak boleh dipertikai, dipersoal atau disiasat oleh mana-mana pihak?,” katanya.

Kamil berkata, sebagai ahli Parlimen, Fadhli sepatutnya menyokong usaha untuk mendapatkan kebenaran berhubung dakwaan campur tangan asing itu, bukannya mempersoalkan pihak yang membuat laporan.

“Sebagai Ahli Parlimen, sepatutnya menjadi antara orang pertama yang mahu kebenaran dakwaan mengenai campur tangan asing ini dibongkar, bukan mengalih persoalan kepada siapa yang membuat laporan polis.

“Apakah menuntut siasatan untuk mempertahankan kedaulatan negara dianggap melatah?

“Apakah kepentingan Pas mengatasi kepentingan mempertahankan kedaulatan Malaysia?,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here