Muhammad Safawi Rasid

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Bawah 22 Tahun (B-22) , Datuk Ong Kim Swee membuat kejutan apabila memutuskan untuk tidak menyenaraikan penyerang sensasi negara, Safawi Rasid dalam kejohanan Sukan SEA Filipina yang bermula hujung bulan ini.

Kim Swee berkata, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dinasihatkan untuk berehat walaupun keputusan itu amat berat buat pengendali berusia 48 tahun itu.

“Keputusan ini dibuat demi kebaikan Safawi yang kita tahu beliau telah bermain begitu banyak perlawanan bersama kelab dan juga pasukan negara, termasuk mewakili pasukan B-22 negara pada awal tahun ini.

“Jadi saya terpaksa untuk memutuskan agar Safawi berehat kerana pasukan negara mempunyai jadual yang amat penting pada tahun hadapan. Saya harap semua pihak harus faham dengan apa yang saya lakukan,” katanya di laman Twitter Team Malaysia.

Bagaimanapun menurut Kim Swee, ketiadaan Safawi itu seharusnya dimanfaatkan oleh pemain-pemain lain untuk menyinar di kejohanan dwi tahunan itu.

Ketika ini seramai 32 pemain sedang menjalani latihan bagi merebut tempat ke Sukan SEA Filipina selepas tujuh pemain Harimau Malaya yang terlibat menumpaskan Indonesia dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 melaporkan diri.

Tujuh pemain itu adalah Muhammad Akhyar Rashid, Mohamed Syamer Kutty Abba, Muhammad Haziq Nadzli, Adam Nor Azlin, Danial Amier Norhisham, Dominic Tan dan Muhammad Syahmi Safari.

Sementara itu, pemain pertahanan JDT, Adam Nor Azlin yang menjadi pemain lebih umur kedua yang dipanggil mahu memberikan sepenuh komitmen sekalipun beliau tidak beraksi dengan kerap bersama pasukan kelab mahupun skuad kebangsaan. – MalaysiaGazette