KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa membuat ciapan di Twitter meminta agar ada pihak memberi nasihat berhubung insiden yang berlaku pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, insiden yang berlaku itu sangat memalukan dan beliau menyatakan tidak pasti sama ada ia sidang DUN atau keadaan di sebuah pasar.

“Sy tonton beberapa video clips sidang DUN sebuah negeri. Saya tak pasti itu DUN atau pasar..Masyaallah malunya..tolonglah buat sesuatu..beri nasihat..jgn sampai rakyat hilang hormat,” demikian ciap beliau.

Dipercayai ciapan Annuar itu merujuk kepada situasi tikam lidah pada sidang DUN di Melaka semalam.

Menerusi rakaman yang tular, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee bertegang urat dengan ADUN Sungai Udang (BN-Sungai Udang), Datuk Seri Idris Haron.

Semua itu berpunca gara-gara perkara yang dibangkitkan berhubung isu babi yang banyak berkeliaran di beberapa kawasan di negeri itu.

Ia bermula sebelum Norhizam menjawab soalan tambahan Datuk Gue Teck (PH-Klebang) yang bertanya bila operasi menembak babi hutan selesai, sekali gus menyebabkan beberapa ADUN Barisan Nasional (BN) mencelah dan mendakwa soalan tambahan berkenaan tiada kaitan dengan soalan asal.

Norhizam yang juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka mendakwa jumlah khinzir yang banyak berpunca akibat kelemahan kerajaan terdahulu yang dikatakan tidak bersungguh untuk menghapuskan haiwan berkenaan hingga mengganggu ketenteraman penduduk.

Beliau turut menyifatkan dirinya sebagai wira atau seorang yang hebat dalam menjalankan tugas.

Hujah Norhizam itu mengundang rasa kurang senang kepada Idris yang kemudian bangkit dengan mengatakan, itu saja kebolehan kerajaan negeri dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang hanya tahu menembak babi.

Keadaan semakin panas apabila Idris yang juga Ketua Pembangkang DUN Melaka, mendesak kerajaan negeri lebih sensitif berhubung itu berkenaan sambil mendakwa kenyataan Norhizam sebelum ini, membangkitkan kemarahan Indonesia.

Norhizam bagaimanapun tetap mempertahankan dakwaan wujud migrasi haiwan liar itu ke Melaka dan mendedahkan sebanyak 479 babi hutan berjaya ditembak dalam operasi yang dijalankan secara berkala, sejak Januari hingga Oktober lalu.

Persidangan DUN Melaka terpaksa ditangguhkan sebelum rehat. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.