Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bergambar kenangan bersama pelajar pada Majlis Perasmian Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 22 NOVEMBER 2019

BANGI – Tun Dr Mahathir Mohamad sedia untuk menerima mana-mana Ahli Parlimen yang ingin mengemukakan undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau.

Perdana Menteri bagaimanapun memberitahu, beliau tidak tahu siapa yang tidak menyokongnya.

Namun sekiranya tindakan itu dibuat, beliau akan mematuhi keputusan yang dibuat berlandaskan undang-undang.

“Apa yang saya tahu, Pas kata mereka sokong saya, terima kasih. UMNO juga kata mereka sokong saya, terima kasih.

“Saya tak tahu siapa lagi yang tidak menyokong saya. Kalau mereka tak sokong saya, mereka boleh kemukakan resolusi (usul) undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan saya akan patuhi undang-undang,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ditanya mengenai cadangan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa supaya Dr Mahathir memilih antara UMNO atau DAP, Mahathir secara sinis berkata, beliau akan memilih bekas partinya itu.

“Kalau dia (Annuar Musa) tak rosakkan UMNO, saya pilih UMNO lah. Tapi pasai dia dan kawan-kawan dia (termasuk) Datuk Seri Najib Tun Razak guna UMNO untuk cari duit, takkan saya nak masuk parti macam itu,” katanya. – MalaysiaGazette