PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Seorang pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara empat suspek yang ditahan polis dalam kes cubaan samun dan culik seorang lelaki warga India, 14 November lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, remaja lelaki itu ditahan bersama-sama tiga lagi lelaki pada hari yang sama iaitu tidak lama selepas kejadian.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira 7 pagi, ketika mangsa yang berumur 23 tahun itu sedang berjalan bersama seorang rakan lelakinya dari rumah ke restoran tempat mereka bekerja sebelum didatangi kumpulan suspek yang menaiki sebuah kereta.

“Seorang daripada suspek kemudiannya menarik mangsa ke dalam kenderaan itu namun rakan mangsa berjaya melarikan diri. Rakannya memberitahu, dia yang dalam keadaan cemas sempat menelefon rakan sekerja wanita mereka untuk memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

“Wanita warga asing itu terus membuat laporan polis dan tindakan pantasnya menyebabkan kumpulan suspek terbabit berjaya dikesan dalam tempoh singkat,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Baharudin berkata, hasil risikan, polis berjaya mengesan kenderaan jenis Proton Saga FLX dinaiki kesemua suspek yang masih berada di sekitar lokasi kejadian dalam keadaan mencurigakan dan ketika anggota menghampirinya, pemandu tersebut bertindak memecut kereta terbabit.

Kenderaan yang dipecut laju itu nyaris melanggar seorang anggota polis yang kemudian terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan tersebut untuk menghentikannya.

“Tembakan yang kena pada tayar kereta itu menyebabkan ia terbabas ke dalam longkang. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut mendapati mangsa masih berada di dalamnya,” katanya dan menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek tidak mengenali mangsa dan cubaan menculik dibuat secara rawak dan bermotifkan samun.

Kesemua suspek warga tempatan itu direman tujuh hari bermula 15 Nov lepas untuk siasatan. – Bernama