Benjolan keras seperti guli pada pergelangan tangan.

ANDA melakukan rutin harian seperti biasa namun menyedari pada bahagian pergelangan tangan anda terdapat benjolan keras seperti guli dan secara lebih jelas kelihatan apabila pergelangan tangan dibengkokkan.

Situasi itu menyebabkan anda risau dan khuatir.

Menurut Pakar Bedah Tulang Hospital Pakar KPJ Perlis (KPJ Perlis), Dr. Radzeli Mohd Ramli, kebiasaannya, benjolan seakan-akan guli itu berpunca kerana ganglion.

“Ganglion merupakan ketumbuhan tisu yang paling kerap terjadi pada sendi pergelangan tangan. Secara purata, 70 peratus daripada ganglion terjadi pada bahagian belakang (dorsum) pergelangan tangan.

“Ganglion muncul dari sendi scapholunate sementara bakinya pada bahagian permukaan depan (volar) sendi radiocarpal dan scaphotrapezial. Ada kalanya ia terlalu kecil sehingga boleh dilihat secara jelas apabila pesakit membengkokkan pergelangan tangan. Ia biasanya berlaku pada umur dewasa dan warga emas.

“Ia boleh berlaku kepada kanak-kanak tetapi peratusan itu amat kecil. Kandungan benjolan ini biasanya merupakan campuran cecair sendi iaitu glucosamine, albumin, globulin dan Hyaluronic acid,” katanya baru-baru ini.

Kata Radzeli, kesan tekanan atau pressure effect Ganglion boleh menyebabkan seseorang berasa tidak selesa terutama semasa ingin melakukan aktiviti fizikal menggunakan tangan.

“Dalam satu penyelidikan yang dilakukan bagi menentukan punca utama pesakit datang untuk mendapatkan rawatan ialah 38 peratus disebabkan penampilan, (28 peratus kerisauan kemungkinan tumor), (26 peratus kesakitan) sementara baki lapan peratus kerana gangguan fungsi tangan atau keabnormalan deria rasa.

“Ada masanya, kesan ganglion boleh menekan saraf yang berhampiran menyebabkan rasa kebas namun tidaklah begitu merbahaya dan tiada risiko untuk berubah menjadi kanser.

“Namun sebaiknya, mereka yang menghadapi simptom ini perlu berjumpa doktor sekiranya terdapat benjolan atau bengkak pada mana-mana anggota badan anda. Ini bagi memastikan ianya tidak merbahaya. Selain daripada ganglion, kebengkakan atau benjolan boleh disebabkan oleh ketumbuhan lain seperti Lipoma (ketumbuhan sel lemak), sebaceous cyst (benjolan kelenjar peluh) ataupun abscess (nanah).

“Diagnosis ganglion ini dibuat berdasarkan pemeriksaan klinikal. Secara umumnya tidak perlu menjalani imbasan X-ray namun sekiranya pembedahan diperlukan, darah mungkin perlu diambil sebelum anda dilihat oleh doktor bius,” katanya.

Pakar Bedah Tulang
Hospital Pakar KPJ Perlis (KPJ Perlis), Dr. Radzeli Mohd Ramli,

Dalam perkembangan berkaitan, Radzeli memberitahu terdapat tiga kaedah rawatan bagi menangani ganglion iaitu tanpa pembedahan, disedut keluar (Aspiration) dan pembedahan.

“Menerusi pilihan tanpa pembedahan boleh dilakukan sekiranya ganglion tidak menimbulkan sebarang masalah boleh dibiarkan sahaja tanpa perlu sebarang prosuder atau pembedahan.

“Opsyen kedua ialah disedut keluar tetapi berisiko kerana peratusan ganglion itu kembali tumbuh ialah tinggi iaitu 50 peratus.

“Terakhir, pembedahan akan dilakukan sekiranya ia menimbulkan masalah seperti sakit, kebas atau pesakit meminta ia dibuang atas sebab kosmetik atau perihal lain. Secara umumnya, peratusan ia kembali (ganglion) terjadi lebih rendah iaitu 15 hingga 20 peratus.

“Anda (pesakit) akan dibius terlebih dahulu. Ganglion akan dibuang melalui satu torehan pada kulit. Prosuder ini dijalankan secara daycare (boleh pulang pada hari yang sama selepas pembedahan selesai dilakukan) yang bergantung kepada kriteria-kriteria tertentu,” katanya.

Punca-punca berlaku Ganglion

Ganglion terbentuk akibat kelemahan pada lapisan tisu yang melapisi sendi sehingga cecair synovial menolaknya keluar dan membentuk benjolan.

Ia boleh terjadi pada mana-mana sendi namun lebih kerap terjadi di bahagian pergelangan tangan.

Terdapat dua teori iaitu Teori Trauma dan Teori Keradangan (inflammation) yang cuba menjelaskan kenapa kelemahan tisu ini berlaku namun jawapannya masih kekal misteri.

Artikel sumbangan Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Perlis, MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.