Surat menggunakan kepala surat Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang tular.

KUALA LUMPUR – Pagi ini tular satu tangkap layar surat Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

MalaysiaGazette yang memperoleh tangkap layar tersebut mendapati ia menggunakan kepala surat bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Isi kandungan surat itu  adalah mengenai usul membahaskan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara: Suatu usul bagi membahaskan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri (Langkawi) kepada Port Dickson.

Pada perenggan pertama surat itu tertera ayat: “Saya selaku Ahli Dewan Rakyat Rembau membuat usul ini berdasarkan Peraturan 27, Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.”

Surat bertarikh 20 November iaitu semalam itu diterima pejabat Setiausaha Dewan Rakyat.

Peraturan 27 adalah berkaitan dengan tatacara usul-usul dibentangkan di Dewan Rakyat.

Semalam, berlegar ura-ura bahawa satu usul akan dibawa salah seorang ahli Parlimen mengenai tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri.

MalaysiaGazette sedang mendapatkan respon pihak Khairy Jamaluddin untuk pengesahan.

Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 5 Disember ini. -MalaysiaGazette