Zulkifli turut memuat naik gambar dan video menunjukkan beliau menerima jersi yang tertera namanya dan nombor 11.

KUALA LUMPUR – Jersi Harimau Malaya dan JDT bernombor 11 antara derma kurnia diterima Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri daripada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi laman Twitter rasminya @drzul_albakri, Zulkifli turut memuat naik gambar dan video menunjukkan beliau menerima jersi yang tertera namanya dan nombor 11.

Jersi nombor 11 pernah dipakai penyerang Harimau Malaya Safawi Rashid dan pernah disarung pemain JDT Gonzalo Cabrera.

“Sedang dalam rakaman program Coffee with Mufti di @TVAlhijrah114, wakil daripada Istana Negara tiba-tiba datang dan menyerahkan beberapa bungkusan barang.

“Menurut beliau, ini derma kurnia daripada KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong. Apa agaknya? Segan patik dengan kemurahan hati Tuanku,” katanya di laman Twitternya.

Zulkifli turut memuat naik video yang menunjukkan beliau menyarungkan jersi itu sambil menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah di atas derma kurnia itu.

“Junjung kasih kepada Tuanku Permaisuri dan Tuanku Agong atas anugerah yang bagi saya pemain nombor 11 atau ekor Malaya dan Alhamdulillah kami menjunjung kasih atas kurniaan di tempat yang mulia di TV Hijrah ketika rakaman Coffee with Mufti,” katanya.

Sebulan yang lalu tular di laman sosial apabila Zukifli memuat naik gambar di lamanTwitter mengenai sehelai jersi bola sepak Liverpool yang diterimanya daripada sepasang suami isteri yang membawa anak mereka untuk ditahnikkan oleh beliau.

Ciapan itu mendapat perhatian daripada Tunku Azizah yang membalas ciapan tersebut dengan janji untuk menghadiahkan jersi bola pasukan kegemaran Zulkifli. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.