Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media pada Majlis Perasmian Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 22 NOVEMBER 2019

BANGI – Kewujudan sekolah kepimpinan amat penting pada masa ini bagi melahirkan pemimpin masa depan yang memiliki sifat dan akhlak baik, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menjelaskan, nilai-nilai murni itu perlu diterapkan dalam kalangan bakal pemimpin bagi melahirkan kumpulan anak muda yang mampu membawa pembangunan kepada negara.

Menurut beliau, negara perlu menumpukan untuk melahirkan pemimpin masa depan yang baik kerana ia memberi kesan dalam kalangan masyarakat pada masa depan.

“Kita perlu menumpukan usaha melahirkan kepimpinan kerana ia memberi kesan besar. Jika tersilap pilih dengan pemimpin tiada sikap baik akan menyebabkan masalah kepada masyarakat.

“Jangan pilih pemimpin yang membawa malapetaka kepada negara. Jika silap pilih, masyarakat akan hadapi masalah dan mungkin akan runtuh sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mahathir menambah, peranan pemimpin boleh membangunkan negara namun jika seorang pemimpin terpengaruh dengan nafsu, ia akan merosakkan masyarakat.

Jelas beliau, sekiranya ilmu disalah guna, ia akan turut memberi kesan buruk dan sebaliknya.

Beliau mengambil contoh pemimpin terkenal Russia, Peter The Great yang berjaya memajukan negara itu yang sebelum ini jauh ke belakang dalam kalangan negara Eropah lain ketika itu.

Sehubungan itu katanya, negara perlu melatih rakyat supaya mempunyai bakat seperti pemimpin dengan nilai mulia yang dapat menyumbang kepada masyarakat.

“Untuk menjadi seorang pemimpin, kita kena mempunyai sifat tertentu. Kita terap nilai baik yang boleh membawa kejayaan,” katanya. – MalaysiaGazette