Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR – Hasil dapatan kajian laporan mengenai penggunaan rokok elektronik atau Vape dijangka dibentangkan pada suku pertama tahun 2020, kata Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Menteri Kesihatan itu berkata, satu jawatankuasa khas pakar yang diketuai Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chai dan diangotai pelbagai pakar dalam bidang rokok elektronik dalam proses akhir menyiapkan laporan mengenainya.

“Sebaik sahaja laporan itu dibentangkan kepada saya nanti, saya akan mempertimbangkan dan membincangkan hasil dapatan laporan itu dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian nanti.

“Kemudian saya akan membentangkan satu memorandum di Jemaah Menteri mungkin tahun hadapan sebelum mengambil tindakan muktamad.

“Ini kerana kita memerhatikan perkara ini secara teliti dan mendalam segala insiden mortaliti, mobiliti dan kematian apa yang didakwa sebagai diakibatkan oleh penggunaan vape daripada Vaping Associated Lung Injury (e-Vali) istilah baharu yang dikemukakan dalam literasi segala penyakit paru-paru yang dicetuskan Vape,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen saringan Mammogram percuma Etiqa fasa ketiga dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) di Kampung Baru di sini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani mengecam tindakan kerajaan yang menyerbu premis peniagaan rokok vape yang didakwa menjejaskan perniagaan mereka.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan akan mengenakan penalti berbentuk kompaun mulai Januari 2020 selepas tempoh penguatkuasaan pendidikan larangan merokok selesai 31 Disember ini.

“Kita bukan nak denda RM10,000 seperti yang digembar gemburkan di luar sana tapi hanya bermula dengan RM250 dan jika mereka bayar awal ia akan dikurangkan kepada RM150 yang mana kita bersikap mesra pelanggan dalam penguatkuasaan kepada perokok yang ikngkar arahan larangan merokok.

“Lagipun kita bukan nak menghukum mereka walaupun ramai yang marah kenapa saya tidak melaksanakan lagi hukuman kompaun, kerana saya bukan musuh perokok sedangkan ramai kekawan saya merokok juga.

“Saya nak biarkan kumpulan perokok ini faham ketika mereka mahu merokok kami akan nasihat supaya jangan dedahkan asap rokok secara basi kepada golongan kanak-kanak, ibu mengandung dan warga emas di tempat makan awam,” ujarnya.

Katanya, lebih 20,000 orang meninggal dunia di negara ini akibat penyakit berkaitan asap rokok dan ia mendorong beliau mengambil tindakan tegas. – MalaysiaGazette