Anggota bomba memadamkan kebakaran rumah teres setingkat di Kampung Sungai Pinang, Klang yang didiami oleh seorang wanita OKU. foto FB
KLANG – Seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) rentung dalam kebakaran di sebuah rumah teres setingkat di Kampung Sungai Pinang, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Khairul Azhar A. Rahman ketika dihubungi berkata, mangsa Li Lam Seng, 78, ditemui rentung di rumahnya yang musnah hampir 95 peratus itu.

Menurut Khairul Azhar, mangsa tinggal bersama seorang anak lelakinya berusia 30 tahun, namun anaknya tiada di rumah semasa kejadian kerana bekerja.

“Kita menerima panggilan kecemasan kira-kira 4.13 pagi…bomba menemui mayat mangsa yang merupakan OKU kudung kaki dalam keadaan tertiarap dan rentung di bahagian pintu belakang rumah di mana mangsa dipercayai cuba menyelamatkan dirinya.

Khairul Azhar berkata, jiran mangsa yang menyedari kebakaran itu kemudian bergegas ke rumah mangsa dan cuba menyelamatkannya namun gagal sebelum bertindak menghubungi pihak bomba.

Beliau berkata punca kejadian sedang disiasat. – MalaysiaGazette