Foto hiasan

SABAK BERNAM – Aduan tertinggi daripada pengguna yang diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ialah berkaitan dengan harga makanan yang siap dimasak di restoran dan kedai makan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata harga makanan siap masak yang mahal di restoran dan kedai makan lebih banyak dilaporkan oleh pengguna berbanding isu berkaitan kepenggunaan yang lain mahupun kenaikan harga barangan mentah termasuk ikan.

“Setakat ini, tiada aduan ketara berkaitan kekurangan bekalan makanan namun lebih berkisar kepada harga makanan siap dimasak. Ini menunjukkan rakyat Malaysia yang makan di luar terpaksa berbelanja lebih tinggi.

“(Kenaikan) Harga barangan mentah pula sekadar mengikut musim yang mana jika bekalan banyak, harga ada rendah dan sebaliknya,” katanya selepas melawat Jeti 3,000 di sini, hari ini.

Ditanya mengenai langkah kementerian itu dalam menangani kemungkinan berlakunya kenaikan harga ikan sepanjang musim tengkujuh, Saifuddin Nasution berkata penguatkuasaan dan pemantauan berkaitan perkara tersebut dilakukan secara berterusan namun ia tetap berdasarkan kepada aduan daripada pengguna.

Katanya, ini kerana pemantauan harga barangan itu bukan dilakukan pada musim tengkujuh sahaja namun ia dibuat secara berkala dan setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenai isu berkenaan.

“Disebabkan itu, kita lakukan lawatan di jeti-jeti di sini bagi memahami bagaimana rantaian sistem bekalan barangan mentah ini dilaksanakan. (Pertambahan) Harga ikan (di pasar atau pasar raya) adalah bergantung kepada jarak bahan makanan itu dihantar dan juga jenisnya.

“Contohnya, harga tangkapan mewah hari ini di jeti ini iaitu ikan tongkol dijual pada harga RM6 sekilogram di sini namun meningkat kepada RM9 hingga RM10 di lokasi lain kerana ia bergantung kepada saiz, kos pengangkutan dan sebagainya,” katanya.

Justeru kata Saifuddin Nasution, menerusi program ‘turun padang’ itu, pihaknya dapat lebih memahami rantaian sistem bekalan ikan bagi membantu KPDNHEP mengetahui harga akhir untuk pengguna.

“Jadi, bahagian penguatkuasaan akan lebih mudah menyusun gerak kerja mereka,” katanya.

— BERNAMA