Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Tindakan Mohamad Sabu yang membela Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berhubung isu tender padi membabitkan nilai RM1.4 bilion amat merungsingkan.

Ini kerana, kenyataan pembelaan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu tidak mengambil kira janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk mengamalkan tender terbuka.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Abdul Karim berkata, isu tender secara terus kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mencerminkan corak politik baru yang sihat di Malaysia dalam usaha semua pihak untuk mengamalkan ketelusan, menentang salah guna kuasa serta amalan kronisme.

Menurut beliau, Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong telah menjalankan tugasnya sebagai seorang ahli pembangkang yang bertanggungjawab dalam menjalankan fungsi periksa dan imbang ketika membangkitkan isu pemberian tender itu di Parlimen.

Ka Siong, katanya, membawa bersamanya dokumen-dokumen untuk menyokong dakwaannya bahawa tiga kontrak bernilai lebih RM1 bilion dibatalkan selepas kementerian berkenaan mahu menganugerahkan projek kepada Nafas secara rundingan terus.

Hassan berkata, beliau yang memandang serius pendedahan tersebut meminta Salahuddin datang ke Parlimen untuk menjawab dakwaan kerana ia membabitkan intergriti Kerajaan Pakatan Harapan (PH), meskipun hatinya terganggu kerana terpaksa mencabar sahabat baiknya demi membersihkan nama kerajaan serta integriti dan nama baik Ahli Parlimen Pulai itu.

“Ini politik nasional. Ini kepentingan rakyat dan negara. Ini soal ketelusan dan amanah. Terpaksa memilih antara hubungan sahabat atau amanah yang dipikul sebagai seorang backbencer kerajaan yang mahukan kerajaan yang bersih dan berwibawa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tetapi, pada ketika Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, menteri berhak memberi kontrak, “tetapi bukan di luar kawasan mereka”, Perdana Menteri dilihat seperti mempertahankan Salahuddin.

Namun, kenyataan itu mendapat bantahan dalam kalangan pemimpin PH apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan perilaku menteri memberi kontrak dalam pertemuannya dengan Dr Mahathir baru-baru ini.

Malah, Ahli Parlimen PH Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, juga berkata, pemberian kontrak oleh menteri, sama ada dalam bidang kuasa mereka atau sebaliknya adalah salah dari segi moral.

Menurut Hassan, tindakan Ahli-ahli Parlimen menegur dan bersuara kepada Menteri dan Perdana Menteri tidak pernah berlaku semasa 60 tahun Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan.

“Tetapi sekarang Parlimen Malaysia sudah bebas. Parlimen kini bukan lagi rubber stamp kepada kerajaan atau eksekutif. Ahli-ahli Parlimen PH memahami tugas mereka sebagai pihak legislatif yang berhak melakukan check and balance terhadap pihak eksekutif. Ahli-ahli Parlimen sekarang akan melaksanakan doktrin separation of powers atau pengasingan kuasa sejauh yang boleh.

“Di Parlimen Malaysia sekarang diharap-harap tidak akan berlaku lagi seperti di zaman Najib dahulu, di mana Skandal 1MDB sebesar gajah hendak ditutup dengan daun nyior atau kelapa.

“Justeru itu saya amat risau apabila membaca laporan akhbar yang memetik kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang dengan mudah-mudah membela dan mempertahankan Menteri Pertanian dalam isu tender secara terus tanpa mengambil kira janji Manifesto PH untuk mengamalkan tender terbuka,” katanya.

“Marilah kita lihat ke mana sudahnya isu ini dan sejauh mana kerajaan PH yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin besar yang selama ini memperjuangkan kerajaan yang bersih, tidak salah guna kuasa, telus, tidak mengamalkan rasuah dan kronisme melaksanakan apa yang dicakapkannya dulu di jalan-jalan raya, di ceramah-ceramah umum, malah di Parlimen ketika mereka menjadi pembangkang sebelum menjadi menteri,” ujar Hassan. – MalaysiaGazette