Pengarah MYGO, Datuk Mohamad Azli Mohemed Saad (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi MYGO, Muraliraj Seenivasan (kiri) serta yang lain menunjukkan salah satu kenderaan yang menggunakan aplikasi MYGO pada sidang media di Pusat Komersil Jalan Kepayang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – MyGO, syarikat perkhidmatan e-haling baharu di pasaran tempatan memperkenal skim pemilikan kereta percuma bersyarat sebanyak 100 kereta yang berkonsepkan sewa beli pada tahun 2020.

Ketua Pegawai Operasi MyGO, S. Muraliraj berkata, skim itu melibatkan pelaburan sebanyak RM5 juta dengan menggunakan model kereta Proton Saga 1.3.

Jelas beliau, sebagai pengenalan sebanyak 20 kereta itu telah menjadi milik pemandu MyGO pada tahun ini.

“Skim ini melibatkan kerjasama dengan Proton Edar dan Public Bank bagi memboleh pemandu yang tidak mahu menggunakan kereta asal mereka menyewa beli kereta Proton Saga.

“Bakal pemandu tidak perlu membayar wang pendahuluan untuk memiliki kereta ini namun bayaran bulanan pada kadar minima akan dipotong komisyen mereka.

“Cuma kos penyelenggaraan kereta ditanggung mereka namun selepas lima tahun kereta itu menjadi hak milik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Hub MyGO Kuala Lumpur dan Selangor di sini hari ini.

Muraliraj menambah skim kereta percuma bersyarat itu adalah selaras dengan agenda kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Pada masa sama katanya, bagi menghargai kesetiaan pemandunya, MyGO akan turut menawarkan pemilikan saham bersyarat dengan syarat utama adalah minimum tiga hingga lima tahun berkhidmatan dengan syarikat e-hailing berkenaan dengan mencatatkan pendapatan purata bulanan sebanyak RM5,000.

“MyGo hadir dalam pasaran bukan untuk bersaingan dan itu bukan matlamat kami.

“Kami hanya ingin berkongsi pasaran yang luas kerana 43 syarikat e-hailing yang beroperasi ketika ini masih belum mampu memberi perkhidmatan menyeluruh kepada 35 juta penduduk negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muraliraj berkata, MyGo menyasarkan lebih 30,000 pemandu berdaftar pada tahun depan berbanding 5,000 pemandu ketika ini.

Beliau berkata pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai menerusi tindakan promosi secara agresif syarikat untuk meluaskan operasinya di seluruh Malaysia.

MyGO kini menjadi pilihan ramai pemandu kerana menumpukan kepada kebajikan apabila menawarkan potongan komisyen serendah 15 peratus dengan kadar caj perjalanan berpatutan.

Sejak mula diperkenalkan pada Mac lalu, aplikasi MyGO mencatatkan 20,000 muat turun setakat ini. – MalaysiaGazette