Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Ahli Majlis Pimpinan PUsat parti itu, Zakaria Ab Hamid disifatkan sebagai tindakan yang berani.

Namun secara sinis, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin berkata, tindakan itu sebagai suatu langkah reformasi yang membawa rebah.

Tegas beliau, jika benar memang ada saranan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk parti politik mengambil tindakan terhadap anggota parti yang masih tidak dibuktikan bersalah di mahkamah, maka parti juga wajib mengambil tindakan terhadap beberapa anggota parti yang jelas melanggar undang-undang negara.

“Ia seperti kes pukul, samseng, meminta rasuah semasa pemilihan parti dan beberapa kes lagi yang sememangnya diketahui umum,” katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida menambah, pemecatan ke atas Ketua PKR Cabang Bera  hanya akan mendatangkan tanda tanda.

“Apakah ia dilakukan dengan memilih bulu? Memandangkan hanya individu tertentu yang dilihat berpihak pada pimpinan tertentu sahaja diambil tindakan,” katanya yang mengecam tindakan pilih bulu yang dilakukan oleh PKR.

Malah, beliau turut menggesa supaya reformasi kepimpinan dilakukan segera sekiranya parti ini ingin diselamatkan.

BACA: Dua ahli PKR Pahang dipecat, dipercayai terlibat rasuah

Semalam, dua ahli PKR dari Pahang dipecat serta-merta setelah dipercayai terlibat dengan kes rasuah dan suapan ketika pemilihan parti itu, pada tahun lepas.

Selain Zakaria, seorang lagi ahli PKR negeri Pahang, Ismail Dulhadi turut dikenakan tindakan sama.

Pemecatan itu dibuat oleh Lembaga Disiplin PKR selepas mendakwa menerima sepucuk surat daripada SPRM bertarikh 23 Okt berkenaan salah laku berkenaan.

Zakaria yang mengulas pemecatannya mengakui terkejut dengan tindakan parti itu kerana beliau mendakwa tidak pernah dipanggil untuk membela diri berhubung pertuduhan rasuah terhadapnya.

“Perkara ini adalah mengejutkan kerana saya tidak pernah dimaklumkan sama sekali melalui apa-apa cara tentang sebarang pertuduhan disiplin terhadap saya oleh mana-mana pihak,” katanya kepada sebuah portal. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Haha… Apa nih? Apakah Tipa Koyak sudah ketagih untuk berpolitik? Tanya ajer… Bagaimana pula aduan rakyat terhadap trowong gelap di Pinang itu?

Comments are closed.