Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bergambar dengan Timbalannya, Senator Liew Chin Tong serta yang lain pada Persidangan Insititut Kajian Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) 2019 bertemakan 'Mempertahan Negara Maritim : Masa Depan Operasi Bersama ATM?' di Hotel Pullman Kuala Lumpur City Centre. foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Para pemimpin utama parti komponen Pakatan Harapan (PH) terus mengunci mulut untuk tidak membuat komen mengenai rombakan Kabinet.

Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu berkata, rombakan kabinet adalah kuasa dan hak mutlak Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melaksanakannya.

Berikutan itu, beliau yang merupakan Menteri Pertahanan menyerahkan kepada Dr Mahathir untuk menentukan portfolio anggota Kabinet.

“Saya serahkan kepada perdana menteri kerana itu hak dia, dia nak rombak ke atau tak itu hak dia,” katanya dalam sidang media di ibu negara pagi ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu mesej yang viral dalam media sosial dan WhatsApp yang mengaitkannya dengan perubahan portfolio ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, sejak rombakan Kabinet ditimbulkan, pelbagai versi mengaitkan anggota Kabinet ditularkan dalam media sosial.

“Dia ada banyak versi palsu, kita serahkan kepada Perdana Menteri buat keputusan,” ujarnya yang juga Pengerusi DAP Johor.

Pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan Sabtu lalu, Dr Mahathir berkata, beliau akan mengambil kira semua aspek sebelum mempertimbangkan rombakan Kabinet.

Perdana Menteri berkata, beliau akan mempertimbangkan untuk merombak Kabinet sebelum November 2020 ekoran kekalahan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Karmain Sardini pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai pada 16 November lalu.
– MalaysiaGazette