KUALA LUMPUR – Bintang muda bola sepak, Wan Kuzain Wan Kamal yang berpengkalan di Amerika Syarikat bersama Sporting Kansas City mengakui dia kecewa kerana impiannya untuk beraksi untuk pasukan negara di Sukan SEA Manila gagal direalisasikan akibat masalah dokumentasi.

Bagaimanapun pemain tengah berusia 21 tahun ini tetap memasang impian menyarung jersi Malaysia pada masa akan datang.

Malah beliau mahu kekal positif dan mahu melihat pasukan negara mencapai kejayaan di temasya itu nanti.

“Kecewa kerana tidak dapat mewakili Malaysia di Sukan SEA. Saya berharap semuanya berjalan lancar dan dapat turut serta, malangnya buat masa ini ia belum kesampaian.

“Selamat maju jaya kepada pasukan [Malaysia] di Filipina,” katanya menerusi muat naik terbaharu pada akaun sosial Twitter miliknya.

Wan Kuzain terpaksa melupakan hasrat untuk bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee selepas masalah dokumentasi yang gagal diselesaikan sebelum tarikh tutup pendaftaran.

Sebelum ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata mereka akan terus komited untuk membantu Kuzain sekiranya beliau ingin terus mewakili negara di saingan antarabangsa. – MalaysiaGazette