KUALA LUMPUR – Pas bimbang dengan kenyataan pemimpin politik kebelakangan ini, terutama dari kalangan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu arak.
Ketua Penerangan Pas Malaysia, Kamaruzaman Mohamad berkata, suatu ketika dahulu rakyat dikejutkan cadangan mengadakan ‘Oktoberfest’ yang secara jelas bertentangan dengan agama, akhlak, moral dan budaya ketimuran.
Begitu juga, tular di media sosial pemimpin PH dengan bangga memegang gelas dan botol arak, kononnya atas dasar hak asasi manusia.
“Insiden terbaru, kenyataan bahawa tiada larangan minum arak di tempat terbuka telah menimbulkan polemik kerana ia bertentangan dengan norma tatasusila yang diamalkan di Malaysia.
“Kenyataan ini juga dianggap biadab dan seperti sengaja memercikkan api kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau menjelaskan, Islam tidak pernah menghalang bukan Islam untuk mengamalkan agama dan budaya mereka, sekali pun bukan Islam dibenarkan meminum arak, tapi bukan secara terbuka di tempat awam.
Kata Kamaruzaman, cukuplah berita mengenai kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk kerap terpampang di dada akhbar.
“Terlalu banyak kes seperti pergaduhan, keganasan rumah tangga, malah jenayah akibat pengaruh alkohol yang tidak perlu disebutkan terperinci di sini.
“Berita ini sepatutnya diambil iktibar dan menginsafkan kita sebagai warganegara yang prihatin.
“Jika dilihat di negara lain yang majoritinya bukan Muslim, meminum arak di tempat awam adalah dilarang. Antara negara tersebut ialah Kanada, Chile, Finland, Lithuania, Mexico, Norway, Poland, Russia dan Slovakia,” ujar beliau.
Katanya, Pas konsisten mencegah keterbukaan dalam apa juga aktiviti yang melibatkan arak sepertimana Islam mengharamkannya.
Rakyat Malaysia tidak boleh sesekali berkompromi dengan segala aktiviti yang boleh merosakkan masyarakat, apatah lagi mengakibatkan kerosakan akal atau kehilangan nyawa.
“Pas memberi peringatan kepada kerajaan PH tidak sekali-kali membudayakan arak dan sepatutnya mengetatkan undang-undang berkenaan arak sama ada penjualan, pembelian serta semua aktiviti melibatkan minuman keras ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















