Gambar hiasan

SUNGAI BULOH – Industri getah dijangkakan menyumbang RM41 bilion pada 2020 berbanding anggaran RM40 bilion tahun ini, sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor hiliran, termasuk sarung tangan getah, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Ini selari dengan unjuran industri sarung tangan getah, dengan hasil eksport dianggaran sebanyak RM20.68 bilion pada 2020 berbanding RM18.2 bilion yang dianggarkan pada 2019.

Oleh itu, Kok menggesa Lembaga Getah Malaysia, pengawal industri getah dalam negara, supaya meneruskan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan pendapatan negara terutama pekebun kecil.

“Saya menyarankan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk terus menerajui R&D getah, terutama dalam industri hiliran dan menjadi organisasi yang sentiasa inovatif.

” LGM perlu berada di barisan hadapan dan meletakkan dirinya di keluk perubahan yang besar agar terus berdaya saing, setaraf atau melebihi negara pengeluar getah asli yang lain,” katanya pada Majlis Anugerah Inovasi LGM hari ini.

Kok berkata R&D dalam industri getah negara berjaya membantu mengekalkan Malaysia sebagai peneraju sektor R&D getah asli dunia.

Di samping itu, peranan dan prestasi LGM dalam sektor R&D telah berjaya meletakkan Malaysia terkenal sebagai pengeluar bahan mentah getah dan produk-produk berasaskan getah yang berkualiti tinggi.

” Saya juga telah dimaklumkan bahawa LGM menang satu anugerah emas dan dua anugerah perak di Pameran Antarabangsa Penciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2019. Oleh itu, saya menggesa LGM untuk terus berusaha mempergiat aktiviti R&D yang diterajui pasaran, dan berpotensi dikomersilkan serta diguna pakai oleh pekebun kecil.

” Dalam kata lain, saya berharap pihak industri, pengusaha estet dan pekebun kecil mendapat manfaat daripada hasil R&D LGM dari aspek peningkatan produktiviti dan pembangunan produk berasaskan getah yang bernilai tinggi dan mempunyai potensi pasaran yang luas,” katanya. – MalaysiaGazette