Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Anwar Ibrahim menyatakan kesediaannya mempertimbangkan proses rayuan sekiranya dibuat oleh  Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Zakaria Abdul Hamid yang dipecat Lembaga Disiplin PKR kerana disyaki salahguna kuasa, penyelewengan dan rasuah ketika pemilihan parti tahun lalu.

Presiden itu berkata beliau bersedia mempertimbangkan rayuan yang hadir daripada Zakaria kerana individu itu mempunyai segala hak berbuat demikian untuk menyatakan keadilannya seperti yang terkandung dalam Perlembagaan PKR.

“Dalam Perlembagaan parti setiap ahli walaupun sudah dipecat parti, mempunyai hak untuk merayu keputusan dan Lembaga Disiplin mesti mempertimbangkan rayuan yang diterima itu secara adil.

“Saya rasa surat itu diviralkan tepat masa yang mana kandungan surat itu dibaca oleh pengerusi Lembaga Disiplin dan saya sendiri, dan percaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara mendalam dan memanggil pegawai, kakitangan berkaitan serta ahli parti lain sebelum memberikan pengesyoran,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun beliau terus mempertahankan tindakan yang dikenakan ke atas Zakaria dan seorang lagi ahli iaitu Ismail Dulhadi yang didakwa terlibat dalam isu rasuah ketika pemilihan parti tahun lalu.

Walaupun SPRM mengakui terkhilaf mengeluarkan cadangan tatatertib kepada parti politik, bagaimanapun Anwar menegaskan kandungan surat itu menyatakan pihak berkuasa sudah menyiasat dan telah memanggil Zakaria serta kakitangan daerah Bera telah diperakui dan tidak dipertikaikan serta tidak boleh diambil sambil lewa atas alasan teknikal.

Oleh kerana tidak yakin perkara itu sebegitu serius, ujarnya, beliau sendiri meminta dan meneliti surat itu daripada Pengerusi Lembaga Disiplin PKR.

“Saya bacakan dan memperakui tindakan diambil dan kemudian mengenai tindakan dilapor kepada SPRM. Ini selalu berlaku kepada pejabat-pejabat kerajaan.

“Kandungan surat itu teknikal dan substantif dari segi fakta, kita sebagai parti mesti tegas membanteras penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah sehingga kita terpaksa ambil tindakan ke atas dua ahli PKR berkenaan,”jelas beliau.

Anwar dalam perkembangan berkaitan menyatakan kesediaannya menyerahkan surat SPRM itu untuk diteliti Zakaria dan pimpinan lain supaya mereka memahami sebab tindakan pemecatan menyusul ke atas kedua dua individu itu.

Ditanya dakwaan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin bahawa tindakan pemecatan ke atas Zakaria sebagai keadilan double standard, Anwar berkata, setakat ini belum ada kertas siasatan yang dirujuk SPRM atau polis kepada PKR dalam soal tersebut untuk diambil tindakan.

“Pentingnya berada dalam mesyuarat itu kerana kandungan surat dibacakan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin dan saya serta  mereka yang hadir bersetuju kerana mendapati SPRM sudah menjalankan siasatan teliti.

“Kehadiran ini bukan prasyarat (tindakan diambil) tetapi kalau hadir kita dah baca surat itu yang dengar kandungan surat SPRM itu menganggap ini tuduhan serius,” tegas beliau lagi.

Anwar menjelaskan pimpinan parti akan mengambil tindakan sekiranya SPRM atau polis mengemukakan kertas siasatan membabitkan mana-mana ahli parti yang melakukan kesalahan serius.

“Kalau kes sudah ada hukuman mahkamah kita ambil tindakan macam bekas Ketua AMK Ampang ataupun surat SPRM. Jika ada yang lain, dia (Zuraida) boleh bawa maklumat kepada kita.

“Jika dia tidak hadir ke mesyuarat pun, boleh hantar surat keterangan supaya kita boleh teliti dan baca,” ujarnya. -MalaysiaGazette