KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan memandang serius kejadian mengibarkan Jalur Gemilang dengan logo lima bintang di majlis perasmian kejohanan bola keranjang kali ke-28 di sini, semalam.
Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab, kerana hal berkaitan Jalur Gemilang tidak boleh dipandang ringan.
“Berkenaan peristiwa menggunakan Jalur Gemilang yang salah di perlawanan bola keranjang anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) semalam, saya telah menghubungi Presiden MABA untuk mendapatkan penjelasan beliau.
“Saya menegaskan bahawa satu tindakan paling tegas perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab kerana hal berkaitan Jalur Gemilang tidak boleh dipandang ringan,” katanya menerusi status yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya, hari ini.
Hari ini, viral satu klip video yang memaparkan Jalur Gemilang dengan lima bintang bersama logo Westport ditayangkan ketika nyanyian lagu Negaraku pada majlis perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 semalam.
Video itu tular melalui media sosial, dan MABA dalam kenyataannya hari ini juga memohon maaf dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan itu.
Menurut Chee Keong, beliau dimaklumkan pihak MABA akan mengadakan sidang media pagi ini untuk memberikan penjelasan lanjut kepada rakyat Malaysia.
Kata beliau, Jalur Gemilang adalah maruah Malaysia. – MalaysiaGazette
















