KUALA LUMPUR – Adakah kita masih ingat dengan tindakan kurang ajar taikun perniagaan, Tan Sri Lee Kim Yew diselar kerana bertindak menukar warna bendera Malaysia kepada jalur hitam sebagai tanda protes dalam isu pengenalan tulisan khat?

Kim Yew yang juga merupakan pengasas Country Heights Holdings Bhd didakwa cuba menyamakan isu pengenalan kasut hitam untuk pelajar sekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Jalur Gemilang.

Beliau kemudian setelah dikecam secara berterusan akhirnya mengalah tetapi sekadar memohon maaf dan membetulkan kembali warna Jalur Gemilang.

Bagaimana pula dengan pengasas Gamuda Bhd, Koon Yew Yin yang mendakwa anggota tentera negara ini tidak lebih daripada ‘makan dan tidur’ sahaja.

Beliau juga dikecam sehingga menarik kembali kenyataan dan juga memohon maaf kemudiannya.

Terbaru, kita melenting lagi dengan insiden bendera Malaysia dengan bintang berbucu lima yang dipaparkan pada skrin ketika siaran langsung pembukaan Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang (MABA) Piala Lum Mun Chak Bawah 15 Ke-28 di Stadium Hang Jebat.

Kemudian seperti kebiasaan, penganjur tampil memohon maaf walaupun hakikatnya alasan yang diberikan tidak masuk akal dan tidak sepatutnya diberikan ‘muka’ langsung.

Ini hanya sebahagian daripada contoh, belum lagi masuk bab di mana Jalur Geilang dipasang terbalik dan tiada apa-apa tindakan dikenakan.

Malah ada alasan pemimpin kononnya ia hanya sekadar kesalahan ‘kecil’ sahaja dan tidak sepatutnya dihebohkan.

Apa yang menjadi persoalan ketika lagi-lagi di era Malaysia baru ini ialah bagaimana ada individu-individu melakukan perbuatan kurang ajar seperti itu  terlepas?

Persoalan sama dibangkitkan oleh Presiden Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM), Shanmugam Ramaih yang ternyata kecewa kerana bukan kali pertama ia berlaku.

Sebaliknya kejadian yang sama sudah berlaku banyak kali namun pihak berkuasa hanya memandangnya ‘sebelah mata’ sahaja.

“Pelik bukan? Kamu buat perkara bagi sesetengah negara boleh di lucutkan kewarganegaraan tetapi di sini dianggap tidak begitu besar oleh pihak berkuasa.

“Orang itu akan melakukan provokasi, keluarkan kenyataan kurang ajar atau tindakan biadap seperti apa yang dilakukan dengan bendera Malaysia yang sepatutnya sudah sebati dengan jiwa dan raga setiap rakyat di negara ini.

“Kemudian ada segelintir pihak tampil mengkritik, seandainya kritikan dan selar menyelar itu menjadi begitu serius anda akan sama ada lihat pihak berkuasa mengambil kenyataan atau individu atau kumpulan memohon maaf.

“Kemudian ianya akan dilupakan sehinggalah insiden sama berulang lagi. Ini bukan kali pertama, mengapakah kita langsung tidak boleh bertindak jauh lebih tegas daripada ini? Mengapa ini bukan satu isu yang besar kepada kerajaan?

“Anda kini ada kuasa, kalau dahulu kamu asyik salahkan kerajaan lama kononya banyak tidak betul, kini rakyat sudah berikan mandat cukup besar, tukarlah apa yang perlu. Tidak salah seandainya gubal undang-undang yang mengerunkan ‘manusia kurang ajar tidak sedar ini’.

“Supaya ianya tidak berulang pada masa hadapan. Ingat, kita sedang diperhatikan seluruh dunia tetapi kita ambil mudah soal memperlekehkan bendera yang sepatutnya kita hormati ini.

“Cukuplah, jangan retorik lagi. Jangan asyik maafkan golongan seperti ini. Tolong beri pengajaran supaya pada masa hadapan ianya tidak lagi berulang, maaf atau ambil kenyataan dan beri amaran sahaja tidak cukup,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kenapa kurang ajar sangat tukar warna Jalur Gemilang kepada hitam?

Kata Shanmugam, permohonan maaf oleh MABA yang mempamerkan bendera Malaysia dengan lima bucu dan jalur merah putih yang tidak cukup dipaparkan pada skrin ketika lagu Negaraku berkumandang langsung tidak boleh diterima.

Baginya, insiden itu tidak lebih daripada tindakan itu antara satu cara untuk menggugat kedaulatan negara dan boleh dilabel sebagai pembelot.

“Saya pasti ramai di luar sana yang berkongsi sentimen saya tidak kira kaum dan latar belakang, ini kerja gila dan langsung tidak boleh diterima.

“Selepas 62 tahun merdeka, mustahil ada tidak tahu bintang Jalur Gemilang berwarna kuning dan mempunyai 14 bucu melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan serta masing-masing tujuh jalur merah dan putih.

“Bagi saya ini juga seperti mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan melanggar prinsip Rukun Negara. Cukuplah, jangan perbodohkan kita semua dengan tindakan-tindakan seperti ini,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Mohon maaf tidak setimpal dengan pengkhianatan terhadap Jalur Gemilang

2 Komen

  1. Setuju dgn kenyataan Sdra Shanmugan Ramaih, tindakan tegas perlu dikenakan kpd pihak yg terlibat ‘sengaja’ memasang bendera negara yg salah. Tindakan tegas ini sebagai pengajaran kpd semua supaya tidak lg mengulanginya. Melucutkan kerayatan adalah satu hukuman yg setimpal dgn perbuatan mereka itu. Usah lg berlembut mereka ini, mereka seolah2 mencabar pihak berkuasa. Cukuplah perkataan “MAAF” digunakan setelah sengaja melakukan penghinaan kpd negara sendiri. Bertindak tegaslah sblm segalanya menjadi lebih parah. Prevention is better than cure!

  2. Dalam isu2 begini – penghinaan kpd lagu kebangsaan, Raja2, bendera negara dsbnya – kita perlu belajar dr negara jiran, Thailand. Usah malu, ambil yg baik dr mereka. Fikir2lah wahai kepimpinan negara, usah hanya bertelagah dgn isu2 kecil semata2 ingin mencari pengaruh politik sehingga lupa tentang “maruah” negara. Usah pedulikan siapa mereka. Usah cepat kenakan tindakan hanya kpd rakyat marheim mereka yg berjawatan n berharta bebas melakukannya.

Comments are closed.