Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (dua kiri) diiringi Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Dr Rusdi Abd Rashid (kiri) melawat ruang pameran pada Program Persatuan Asia Pasifik Untuk Penyelidikan Alkohol dan Ketagihan di Hotel Bangi Resort, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 27 NOVEMBER 2019

BANGI – Kementerian Kesihatan tidak akan mengganggu kuasa melarang minum arak secara terbuka di tempat awam yang termaktub kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurut Timbalan Menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye, pihaknya tidak berhasrat untuk menggubal apa-apa akta berkaitan larangan minum arak secara terbuka kerana perintah itu sudah dikuatkuasakan oleh PBT.

“Setakat ini tidak ada rancangan sebab kita lihat PBT boleh meneruskan peraturan larangan di sesetengah peringat atau selepas jam berapa tidak boleh minum arak.

“Kita tahu ada sesetengah negara tidak membenarkan minum arak di waktu-waktu tertentu contoh selepas tengah malam tidak boleh minum arak di kawasan terbuka dan bawa tin minuman keras di jalanan raya,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Persatuan Asia Pasifik Untuk Penyelidikan Alkohol dan Ketagihan di Bangi, hari ini.

Boon Chye mengulas mengenai cadangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mahu kerajaan mewujudkan undang-undang khas yang melarang orang ramai daripada meminum arak dan minuman beralkohol secara terbuka.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata undang-undang berbentuk akta itu perlu bagi menangani peningkatan masalah sosial akibat daripada minuman keras itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye bercakap kepada media pada Program Persatuan Asia Pasifik Untuk Penyelidikan Alkohol dan Ketagihan di Hotel Bangi Resort, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 27 NOVEMBER 2019

Dalam pada itu, Boon Chye berkata KKM belum menerima apa-apa permohonan daripada mana-mana pegawai awam atau pegawai badan berkanun untuk menanam ketum.

Beliau berkata pihak kementerian bagaimanapun telah meletakkan syarat bagi tujuan penanaman dan kajian ketum.

“Setakat ini belum ada permohonan (tanam ketum), ini masih di peringkat awal untuk kemukakan gubal Rang Undang-Undang (RUU).

“Di bawah pindaan Akta Racun ini kita benarkan penanaman ketum oleh badan berkanun khususnya untuk mereka yang hendak buat penyelidikan mengenai ketum samada boleh digunakan sebagai ubat atau tidak,” katanya.

Langkah itu bagi memastikan ketum tidak disalahgunakan secara terbuka khususnya terhadap kanak-kanak.

Isnin lalu di Dewan Rakyat, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penanaman ketum dibenarkan ditanam untuk penyelidikan, pendidikan dan perubatan.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada terma dan syarat serta surat kebenaran daripada Menteri Kesihatan.

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2019, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama.

Berdasarkan RUU yang butirannya diberikan Kementerian Kesihatan, menteri diperuntukkan kuasa untuk membenarkan mana-mana pegawai awam atau pegawai badan berkanun menanam tumbuhan terbabit.

Ini bermakna, orang awam tidak lagi dibenarkan menanam tumbuhan psikoaktif itu dan boleh didenda maksimum RM200,000 atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya sekali jika RUU terbabit diluluskan kelak. -MalaysiaGazette