Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh (dua kiri) diiringi Naib Canselor PICOMS, Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman (dua kanan) dan Pengerusi PICOMS, Prof Dr Abdul Latiff Mohamed (kiri) menyampaikan mock cek kepada Pemangku Dekan Fakulti Pengurusan, Mohd Azlan Abu Bakar (kanan) pada Pelancaran Program Picomspreneur di Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Batu Muda, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kolej Universiti Antarabangsa (PICOMS) melalui fakulti pengurusan menganjurkan program keusahawanan yang dikenali sebagai PICOMSPreneur.

Program ini bertujuan memberi ilmu perniagaan kepada pelajar asnaf agar dapat meningkatkan taraf sosioekonom mereka, seterusnya keluar daripada belenggu kemiskinan.

Naib Canselor PICOMS, Profesor Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berkata, program ini bagi menyokong agenda pelan induk pembangunan sosioekonomi melalui pemadanan perniagaan di antara pelajar dan masyarakat asnaf dengan pihak Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Tambah beliau, program ini menyediakan platform keusahawanan kepada pelajar yang berminat menjadi peniaga dan bersaing di pasaran semasa.

Bagi merealisasikannya, beliau berharap agensi lain seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan dapat menyalurkan bantuan kepada PICOMS menerusi tajaan.

“Diharapkan modul dan model perniagaan yang dibangunkan melalui kepakaran tenaga pengajar dari Fakulti Pengurusan berkolaborasi agensi luar dapat menarik badan seperti YAPEIM , Amanah Ikhtiar dan lain-lain untuk menyalurkan tajaan,” ujarnya.- MalaysiaGazette