KUALA LUMPUR – “Bukan mudah untuk kami duduk lama-lama sebab kadang-kadang sejuk duduk di dalam Dewan Rakyat. Saya rasa ini perkara normal (tidak cukup kuorum).

“Selalunya jumlah kita  cukup tapi kadangkala, bila anda menjadi Ahli Parlimen, anda akan faham.”

Itu jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamad Hanipa Maidin.

Beliau ditanya tentang isu tidak cukup kuorum dalam sidang Dewan Rakyat semalam sehingga hampir menggagalkan proses meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mohamed Hanipa Maidin bercakap kepada media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2019

Kejadian itu berlaku apabila pembangkang meminta undian belah bahagi dan keadaan menjadi kecoh kerana kebanyakan ahli Parlimen kerajaan berada di luar dewan sehingga loceng terpaksa dibunyikan dan ada kalangan wakil rakyat terpaksa menelefon rakan masing-masing.

Bagaimanapun, kerajaan berjaya meluluskan RUU itu selepas menang tipis dengan empat undian, apabila Speaker mengumumkan seramai 32 orang bersetuju berbanding 28 yang tidak.

Mengulas lanjut, Hanipa berkata, keadaan yang sama berlaku juga di negara lain di mana ahli-ahli Parlimen tidak boleh diharapkan untuk duduk setiap masa di dalam dewan.

Menurutnya, keadaan tersebut juga berlaku semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Itu sebab kita ada loceng yang digunakan Speaker untuk panggil wakil rakyat. Pada saya, ia hanyalah isu kecil,” katanya. – MalaysiaGazette

Ahli Parlimen mengadu penat balik lewat setiap malam – Johari