foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan pemilik tanah di Kampung Baru telah memberi maklumbalas untuk pelan pembangunan  yang diusahakan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, selepas 30 November ini, pihaknya akan mengumpul kesemua data-data yang dikenalpasti dan lot yang sudah diselesaikan untuk ruang pembangunan.

“Mungkin satu lot 50 nama tapi 40 sudah bersetuju maka kita akan turun secara mikro untuk selesaikan setiap satu lot dan seorang secara bersemuka tapi saya memberi tempoh sehingga Jun 2020 untuk mendapatkan satu penyelesaian yang menyeluruh.

“Maka dengan itu saya harap perjanjian Jualan dan Belian (S&P) pertama akan ditandatangani pemilik tanah pada Jun 2020. Insya Allah itu harapan kita,” katanya ketika ditanya dalam sidang media penganjuran seminar membasmi kemiskinan bandar hari ini.

Tambah Khalid, pihaknya tidak akan melibatkan pengambilan secara paksaan memandangkan telah menerima restu Sultan Selangor selain Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Sulaiman Mahbod dan sudah menandatangani untuk membangunkan Kampung Baru.

Menurutnya, selepas itu pihaknya akan meuar-uarkan segala langkah pelaksanaannya secara telus tanpa berselindung sambil menjelaskan terdapat banyak publisiti negatif yang sengaja diwujudkan pihak tertentu sehingga mempengaruhi pemilik tanah di Kampung Baru.

“Tapi kita perlu bantu pemilik tanah memahami situasi sebenar, matlamatnya baik, tawarannya baik dan banyak masalah dapat diselesaikan tidak ada sebab tak ada (penduduk) yang setuju untuk pembangunan yang ingin dibawa kerajaan secara telus tanpa paksaan demi kesejahteraan dan manfaat mereka di tengah bandaraya yang pesat membangun dalam peta dunia.

“Walaupun jumlah peratus penduduk dan penama 40 peratus, maka saya perlu kumpul data, tanah mungkin boleh melebihi 40 peratus,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai cadangan Pertubuhan Pemilik Tanah dan Waris Tanah Kampung Baru (PPTWT) yang mahu sebahagian tanah di Kampung Baru diwakafkan dan keuntungannya diuruskan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Khalid tidak faham pendekatan wakaf yang dimaksudkan oleh pihak berkenaan.

Cuma, katanya, kalau ada yang sanggup membiarkan tanahnya diwakafkan maka kerajaan bersedia membantu.

“Saya tak beberapa faham dia punya pendekatan wakaf, kamu nak people give their land for free lepas itu diwakafkan,kalau ada seorang yang sanggup jadikan wakaf kita terimalah.

“Saya khuatir dia maksudkan ialah kita wakafkan balik tanah pada dia ..yang itu susahlah.. ramai yang masalah kita hadapi ialah dia orang nak kita bangunkan untuk mereka dan kekalkan kami keluarkan wang bangunkan dan berikan kepada mereka.

“Dunia tak begitu sekarang, siapa nak bangunkan dan berikan kepada awak. ada yang kata kamu lease (pajak)’ untuk 30 tahun dan lepas kita bangunkan dalam tempoh itu kita berikan kepada dia balik, siapa nak sanggup begitu bina rumah dan kondominum lepas 30 tahun bagi balik kepada pemilik tanah..kita kena carikan penyelesaiaan yang taktikal dan pendekatan saya ialah kita sama-sama bangunkan, semua dapat manfaat,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette