KUALA LUMPUR – Banyak pihak membantah dan tidak bersetuju dengan tindakan sekumpulan individu membawa pulang abu mayat Chin Peng kerana bekas Setiausaha Parti Komunis Malaysia (PKM) itu musuh nombor satu negara.
Menurut Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, Chin Peng juga ketua pengganas komunis yang membunuh ribuan anak bangsa, melibatkan anggota tentera, polis dan orang awam.
Katanya, Chin Peng ketika mengetuai PKM, cuba menegakkan negara komunis Malaya melalui kekerasan.
“Dia bukan warganegara Malaysia. Tidak ada sebab dia harus disanjung oleh mana-mana pihak,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.
Minggu lalu, negara digemparkan dengan berita sekumpulan individu dari Perak membawa balik abu mayat Chin Peng pada 16 September lalu dan abu itu sebahagiannya ditabur di perairan laut Lumut serta di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.
Tindakan itu mendapat kecaman pelbagai pihak terutama dari parti politik blok pembangkang, orang ramai, ahli keluarga anggota polis dan tentera yang terlibat dalam operasi membanteras komunis serta badan bukan kerajaan (NGO).
Bagaimanapun, beberapa pemimpin kerajaan, termasuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menghalang tindakan membawa balik abu mayat komunis itu.
Terbaharu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor turut menyifatkan tidak salah abu mayat Chin Peng disemadikan di negara ini.
Roslan menambah, jika mayat ketua Al-Qaeda Osama ben Ladin dan pemimpin militan Islam, Abu Bakar Baghdadi dicampak ke laut, kenapa Chin Peng hendak dimuliakan. – MalaysiaGazette
















