KUALA LUMPUR – DRB-Hicom Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM40.08 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2019, pulih daripada kerugian bersih RM11.42 juta dicatatkan tahun lalu disumbang terutamanya daripada prestasi lebih baik anak syarikatnya Proton Holdings Bhd.

“Prestasi sektor automotif, terutamanya pengeluar kereta nasional, Proton, jelas memberi rangsangan kepada DRB-Hicom.

Sektor ini mencatatkan hasil berjumlah RM2.42 bilion bagi tiga bulan hingga September 2019, meningkat hampir setengah bilion ringgit berbanding tempoh yang sama pada 2018,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, segmen perkhidmatan dan hartanah DRB-Hicom mencatat hasil yang rendah tahun ke tahun.

“Pendapatan bagi sektor perkhidmatan lebih rendah kerana landskap operasi Pos Malaysia masih kekal mencabar, manakala dalam sektor hartanah, pendapatan lebih rendah diterima daripada projek pembinaannya yang berada pada peringkat pembinaan berbeza,” jelasnya.

Keseluruhannya, hasil kumpulan meningkat 12.9 peratus kepada RM3.59 bilion semasa suku tersebut daripada RM3.18 bilion sebelumnya.

DRB-Hicom akan melaksanakan tempoh kewangan sembilan bulan pada 2019 berikutan keputusannya untuk memindahkan tahun akhir fiskalnya dari Mac kepada Disember.

Pada masa depan, kumpulan itu berkata, ia terus bertahan dalam persekitaran mencabar yang berpanjangan, disokong sektor automotif.

“Dengan akhir tahun kewangan kini hanya tinggal sebulan lagi, Proton dan semua jenama automotif DRB-Hicom lain akan berusaha mendapatkan momentum dengan pelbagai promosi akhir tahun yang agresif serta pelancaran.

“Bagi perniagaan lain, tumpuan akan kekal pada usaha pengurusan kos yang berhemat dan meningkatkan kecekapan operasi. Landskap mencabar dihadapi Pos Malaysia sedang ditangani dengan pelaksanaan keseimbangan tarif yang dijangka dimuktamadkan dengan positif untuk meningkatkan prestasi keseluruhannya,” kata kumpulan.

Kumpulan itu dijangka mencapai prestasi memuaskan bagi tempoh kewangan penuh sembilan bulan yang berakhir pada 31 Disember 2019. – Bernama