Dr. Aziz Jamaluddin Muhd Tahir

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 di Dewan Rakyat pada minggu hadapan kerana bercanggah dan menyalahi Perlembagaan.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra mengambil pendirian itu berdasarkan dalam perkhidmatan polis telah sedia ada sebuah jabatan yang bertanggungjawab memantau tatatertib dan aduan orang awam mengenai sebarang bentuk salah laku yang membabitkan anggota keselamatan itu.

Menurut Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Aziz Jamaluddin Muhd Tahir, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah ditubuhkan pada 25 Julai 2014 dengan tujuan memperkasakan PDRM menerusi pemantapan integriti dan pematuhan standard dalam kalangan anggotanya.

Tentunya kata beliau, untuk menyemarakkan proses tersebut secara berkesan, ia wajar dilaksanakan secara dalaman menerusi latihan dan bimbingan.

“Kita yakin dengan kawalan dalaman, pemantauan berterusan dan disiplin yang tinggi, JIPS mampu melaksanakannya berbanding dengan kawalan luaran menerusi undang-undang.

“RUU IPCMC yang ditambah baik tidak akan menjadi satu bentuk kawalan yang berkesan kerana ia telah melangkaui peruntukan undang-undang asas negara, iaitu Perlembagaan Malaysia terutama Perkara 140 (1).

“Ini bermakna, RUU IPCMC yang bakal dicadangkan turut membabitkan pelantikan bukan dalam kalangan anggota PDRM dan bertentangan dengan undang-undang asas negara,” katanya di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, bagi tujuan pemantauan, mekanisme pemantauan luaran sedia ada dilihat sudah mencukupi.

Katanya, sudah ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes berkaitan rasuah, salah laku dan seumpamanya, manakala SUHAKAM adalah untuk melihat aduan yang berkaitan dengan pelanggaran hak asasi manusia dan kebebasan sebagaimana dibenarkan oleh Perlembagaan Malaysia.

Menurut Dr. Aziz Jamaluddin, dengan penubuhan IPCMC, bukan saja membabitkan perbezaan nilai dan tafsiran budaya, bahkan suatu pembaziran apabila beberapa agensi melaksanakan penyiasatan secara bertindih.

Jelas beliau lagi, IPCMC tidak diberikan kuasa melantik, maka tidak mempunyai kuasa untuk memecat atau menurunkan pangkat seseorang anggota polis.

“Jika RUU IPCMC dibentangkan juga dalam Dewan Rakyat minggu depan, ia bakal merupakan RUU yang pelik dan aneh.

“Tindakan yang dikenakan menerusi peruntukan RUU IPCMC boleh dicabar di mahkamah untuk membatalkannya kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.

“Putra melihat ia sebagai RUU yang bukan sahaja aneh, bahkan boleh menjejaskan imej negara sekiranya dibentangkan di Dewan Rakyat tanpa melihat keselarasannya dengan peruntukan yang sudah dimaktubkan dalam Perlembagaan,” ujar beliau.

Kata beliau, sepatutnya sesuatu undang-undang baharu digubal untuk memperkukuhkan asas sedia ada dalam perlembagaan bukan berusaha meremehkannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast