Datuk Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Biro Aduan Awam dan Undang-Undang yang dilancarkan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini bertujuan untuk memberi khidmat kepada masyarakat khususnya Melayu dan Bumiputera.

Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, biro itu akan bertanggungawab untuk mengawasi perjalanan pelaksanaan Perlembagaan Negara yang berkaitan dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Katanya, ia juga akan memainkan peranan mengawasi pelaksanaan perlembagaan seperti perkara berkaitan dengan bahasa Melayu bahasa kebangsaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan sebagainya.

“Biro ini yang bertindak sebagai serampang dua mata diletakkan bawah Pengerusinya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang juga Naib Presiden Putra dan seorang peguam terkemuka.

“Perkara pertama yang sudah pun diambil tindakan oleh biro ini ialah membawa kes Sekolah Vernakular yang tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan ke mahkamah baru-baru ini.

“Banyak lagi perkara lain yang kita beri perhatian seperti isu tanah rizab Melayu, biasiswa dan hal berkaitan dengan kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Biro Aduan Awan dan Undang-Undang Putra di Pusat Komersial Sinar Sentul hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Putra, Tan Sri Khalid Yunus; Ketua Wirawati, Dr. Asmah Razalli; dan Ketua Wiranita, Intan Rahmah Ali.

MenurutIbrahim, parti itu mewujudkan biro berkenaan selepas ada pihak berpendapat raja berperlembagaan tidak mempunyai kuasa sebaliknya kuasa mutlak berada di pihak eksekutif.

“Pendapat dan pandangan ini tidak betul. Walaupun raja berperlembagaan, dari segi undang-undang, raja ada peranan untuk semak dan imbang.

“Semua hal begini harus diberi perhatian oleh Putra sebab selama ini kita tengok sudah ada pelanggaran yang terang-terang oleh pihak pemerintah.

“Contohnya, dari segi biasiswa yang merupakan hak orang-orang Melayu, terdapat anak orang Melayu apatah lagi yang miskin, lulus cemerlang dalam peperiksaan, mendapat tempat di universiti terkemuka, tetapi tidak dapat biasiswa,” katanya.

Begitu juga, ujarnya, usaha mendapatkan lesen dan permit yang merupakan hak Bumiputera dan kaum Melayu turut dinafikan.

Katanya, hal seperti itu yang ada kena mengena dengan perlembagaan, biro itu akan bertanggungjawab untuk melihat mengenai perjalanan dan pengawasannya, selain khidmat kepada rakyat.

Beliau menjelaskan, partinya menerima rungutan dari rakyat yang mana mereka sudah jemu dengan pemimpin politik yang bercakap kosong dan berbohong.

“Pemimpin cakap nak bela rakyat, tapi bila sudah menang, pergi Dewan Rakyat, namun dewan tidak cukup korum. Sedangkan, elaun harian ada, gaji bulanan ada. Bila pergi ke Parlimen, asyik berkelahi. Cakap tidak serupa bikin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast