Pasukan UTeM sewaktu dinobatkan johan keseluruhan PUBG Mobile National Championship 2019 di Puchong baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Lima orang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjadi juara PUBG Mobile Campus Championship 2019 (PMCC) di IOI Mall Puchong baru-baru ini.

Kejayaan itu sekaligus melayakkan Mohamed Alif Najmi Ikmil Hazri, Danial Irfan Abd Halim, Muhamad Haziq Haikal Kamarudin dan Ariz Mustaffar dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal manakala seorang lagi iaitu Wan Ashraf Idham Wan Abdullah dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM18,000.

Daripada tujuh regional qualifiers dari seluruh Malaysia, 16 pasukan terbaik antara universiti telah berkumpul pada 24 November lalu untuk perlawanan terakhir yang mana pasukan dari UTeM telah berjaya mempawa pulang johan keseluruhan bersama satu tempat khas untuk PUBG Mobile National Championship yang berlangsung pada tahun 2020 nanti.

PUBG Mobile Campus Championship Malaysia 2019 merupakan kejohanan e-sukan antara universiti yang pertama untuk PUBG Mobile dibawakan oleh Yoodo.

Ia menjadi platform kepada para pelajar untuk mewakili universiti atau kolej mereka dan juga mempamerkan bakat serta kebolehan mereka dalam permainan tersebut, kata satu kenyataan UTeM baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim menganggap kejayaan tersebut turut menyerlahkan mahasiswa dari bidang kejuruteraan kini tidak hanya menyerlah dalam akademik semata-mata.

Mereka juga, katanya, berkepakaran luas dan punyai bakat dalam bidang games yang semakin berkembang.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd. Manap menyatakan E-sukan seperti PUBG, Mobile Legends, CS:Go yang dilihat sebagai salah satu dari cabang e-sukan tidak lagi dipandang perkara yang membazirkan masa.

Namun, katanya, ia dilihat sebagai cabang untuk memupuk semangat kesukanan dan melahirkan bakat-bakat e-sukan baru tanah air.- MalaysiaGazette