Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Sokongan sebulat suara kesemua 14 negeri bagi memperketatkan undang-undang Islam memberi keyakinan usaha menetapkan had umur perkahwinan 18 tahun ke atas akan dicapai pada masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf berkata, ketika ini dua isu berbangkit dalam perkara itu iaitu ada tujuh buah negeri tidak bersetuju had umur dinaikkan.

“Dia ada dua isu, satu menetapkan had umur dari 16 tahun kepada 18 tahun yang mana tujuh negeri tidak setuju tapi yang bagusnya adalah mereka setuju untuk satu lagi isu iaitu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperundangkan ketika ini supaya diperketatkan lagi.

“Maknanya, kalau setengah negeri tak menetapkan had umur tapi dia setuju untuk ketatkan undang-undang berkaitan sedia ada.

“Maka ada keyakinan tinggi kepada kami (kerajaan Pusat) dalam nak meyakinkan mereka bahawa lebih baik kita menetapkan had umur 18 sebagai ketetapan dalam undang-undang nanti,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mujahid, kesemua negeri juga menerima dan menyambut baik cadangan memperketatkan undang-udang yang sedang digunapakai dalam perkahwinan bawah umur melibatkan kanak-kanak ketika ini dan kerajaan akan mengetatkan SOP.

Ditanya apa yang sebenarnya mengundang kepada masalah meningkatkan had umur yang dipertikaikan tujuh negeri antaranya Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor, beliau berkata; “Isunya ia (undang-undang had umur ) terletak pada kuasa negeri. Jadi saya tak boleh bagi jawapanlah. Diorang ada kuasa untuk menetapkan (had umur perkahwinan kanak-kanak).”

Beliau juga mengulas mengenai sebarang jangka masa perketat undang-undang dan SOP sedia ada.

“Tidak ada tempoh masa (perketat undang undang had umur perkahwinan) kerana rundingan berjalan dan ia melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan dan sebagainya,” tegas beliau lagi.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.