Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebulat suara menolak pemecatan Zakaria Abdul Hamid oleh Lembaga Disiplin parti tersebut.

Dalam satu kenyataan daripada 14 MPP itu berkata, keputusan itu dicapai setelah meneliti dan mendapati keputusan memecat Zakaria adalah alasan yang ‘cacat’.

Keputusan berkenaan tidak menepati prinsip keadilan iaitu tidak melalui proses sebagaimana seharusnya.

“Ini diperkukuhkan dengan kenyataan terbuka pihak SPRM sendiri yang  menjelaskan kekhilafan pihak mereka dalam hal makluman kepada Lembaga Disiplin parti tentang isu tersebut.

“Malahan turut dinyatakan bahawa setelah kes disiasat, tiada kes wujud seperti dakwaan,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut melampirkan 14 nama MPP termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin, Chian Tian Chang, Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha dan Timbalan Ketua AMK, Hilman Adham.

Justeru, mereka yang mewakili majoriti Ahli MPP yang dipilih bagi sesi 2018-2021 menolak keputusan tergesa-gesa dan mendesak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf atas keterlanjuran yang jelas tidak mendapat sokongan dua per tiga Ahli MPP sendiri.

Malah, sehingga hari ini Zakaria masih Ahli MPP yang sah.

Makluman pemecatan yang tidak menyebut sebab-sebab tindakan itu diambil juga tidak relevan, apatah lagi merayunya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PKR perlu tarik balik keputusan pecat saya – Zakaria