Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz akan memfailkan tindakan saman ke atas penubuhan sekolah vernakular di Mahkamah Tinggi di sini, sebelum 15 Disember ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bersama 28 peguam kanan dari pelbagai firma akan membuat perancangan teliti sebelum membawanya ke mahkamah.

Kata beliau, pihaknya memilih tarikh sebelum 15 Disember berikutan bermula 16 Disember ini mahkamah akan bercuti dan tidak ada sebarang perbicaraan berlangsung.

“Kita akan failkan tindakan ini sebelum 15 Disember ini. Bersama saya sudah ada 28 peguam kanan dari lain-lain firma yang akan berbincang dan membuat perancangan sebelum di bawa ke mahkamah.

“Kebanyakan peguam ini pernah hadir di Mahkamah Persekutuan Putrajaya tempoh hari. Apabila jumlah (peguam) semakin ramai, lebih banyak faktor, perkara, perancangan dan strategik perlu dinilai sebelum membuat tindakan saman ini.

“Namun, ini bukan masalahnya. Saya sedang mengatur semua ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Biro Aduan Awam dan Undang-Undang Putra di pekarangan pejabatnya di Pusat Komersial Sinar Sentul hari ini.

Biro itu dirasmikan Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, yang turut dihadiri Timbalan Presidennya, Tan Sri Khalid Yunus.

Pada 23 Oktober lalu, Mohd Khairul Azam memfailkan notis usul ke Mahkamah Persekutuan terhadap kerajaan Malaysia bagi mencabar penubuhan sekolah vernakular sebagai tidak berperlembagaan.

Beliau memfailkan notis usul itu di Mahkamah Putrajaya mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan melibatkan isu keperlembagaan Akta Pendidikan 1996 untuk diadili oleh seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

Namun, pada 11 November lalu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed menolak permohonan itu dengan alasan perkara perkara itu perlu dimulakan di Mahkamah Tinggi, bukan terus ke Mahkamah Persekkutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. kalau mahkamah kata tutup. selamat tinggal lah skjt dan skjc dimalaysia ini. 10 tahun nanti kita semua cakap melayu sahaja.

Comments are closed.