Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan telah melancarkan gerak kerja bagi menyemak penyata bank semua kontraktor yang berjaya dan mendapati sebahagian kontraktor Bekalan Makanan Bermasak (BMB) telah mengemukakan penyata bank palsu.

Kementerian Pendidikan berkta, kontrak perkhidmatan kontraktor yang terlibat telah ditamatkan dan laporan polis telah dibuat bagi membolehkan kes itu disiasat dengan lebih lanjut.

Ujarnya, Kementerian Pendidikan menghadapi kesukaran untuk membuat pengesahan kesahihan penyata bank dengan pihak bank berikutan jumlah petender yang terlalu banyak.

“Oleh itu, tempoh masa diperlukan bagi menentusahkan akaun petender dengan pihak bank yang berkenaan.

“KPM juga memerlukan masa untuk memastikan pemilik syarikat yang melepasi syarat-syarat teknikal bukan dari kalangan pemilik yang syarikatnya telah disenaraihitamkan atau bermasalah,” katanya dalam kenyataan.

Bermula Julai 2018, Kementerian Pendidikan telah menggunapakai sistem ePerolehan (eP) sepenuhnya dalam melaksanakan perolehan bekalan dan perkhidmatan bukan perunding bermula bulan Julai2018.

Kementerian Pendidikan berkata, pihaknya juga perlu memastikan tidak ada kelebihan diperoleh oleh petender yang melanggar integriti proses perolehan dalam apa bentuk sekalipun.

Jelasnya, faktor tempoh masa amat penting untuk meneliti perkara ini secara lebih mendalam dan dibersihkan menerusi satu mekanisme pemutihan kesahihan petender yang sedang diusahakan.

Berikutan itu, Kementerian Pendidikan memberi peringatan bahawa ia tidak akan bertolak ansur dalam memastikan tiada sesiapa yang boleh memanipulasi proses perolehan.

“Oleh kerana proses pemutihan akan mengambil masa, kontraktor sedia ada BMB akan dibenarkan untuk terus beroperasi sehingga kontraktor baharu benar-benar dapat disahkan layak dan bebas daripada unsur-unsur tidak berintegriti.

“Pelantikan kontraktor sedia ada dalam meneruskan perkhidmatan akan dibuat berdasarkan prosedur dan tatacara perolehan Kerajaan yang berkuatkuasa,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu, tender PKK dan KBK akan diteruskan seperti yang dirancang memandangkan syarat-syarat teknikal yang terperinci telah dikuatkuasakan kepada kedua-dua tender perkhidmatan ini.

Kementerian itu, katanya, akan terus komited dalam memastikan perolehan dilaksanakan secara telus dan saksama.

“Adalah tidak benar sama sekali ada tekanan daripada
Pejabat Menteri Pendidikan, mahupun pihak-pihak lain dalam pelaksanaan perolehan ini seperti yang ditularkan,” katanya sambil menambah kementerian itu akan memastikan integriti proses perolehan sentiasa dipelihara dan ditambahbaik. – MalaysiaGazette