Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR- Sejumlah RM83.67 juta baki geran bagi 67 projek pembangunan dan program yang telah disiapkan oleh lapan agensi masih belum dipulangkan kepada Perbendaharaan Malaysia.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri Kedua, lapan agensi tersebut adalah Lembaga Lebuhraya Malaysia yang masih belum memulangkan baki geran sebanyak RM63.73 juta, Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (RM1.37 juta), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (RM1.61 juta), Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (RM2.94 juta), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (RM1.02 juta) dan tiga agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia; Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia; dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (RM8 juta).

Laporan yang diterbitkan hari ini juga mendedahkan terdapat dua agensi iaitu Majlis Produktiviti Malaysia (MPC) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menggunakan baki geran berjumlah RM2.96 juta untuk tujuan lain selain yang telah diluluskan.

“Semakan audit mendapati MPC telah menggunakan sejumlah RM417,699 daripada peruntukan Program Membentuk Mekanisme Pelaksanaan yang Padu  bagi perbelanjaan berkaitan Majlis Pelancaran Produktiviti, Majlis Apresiasi dan Sambutan Aidilfitri MPC, kursus dan lain-lain perbelanjaan.

Perbelanjaan yang ini dibuat tanpa kelulusan kementerian dan Perbendaharaan Malaysia sebelum mengguna pakai geran tersebut,” katanya.

MyIPO pula menurut laporan tersebut telah menerima geran berjumlah RM1.9 juta bagi Projek Mendokumentasi Maklumat Pengetahuan Tradisi dan Sumber Genetik.

Sejumlah RM1.84 juta telah dibelanjakan untuk projek berkenaan bagaimanapun baki RM57,612 daripada keseluruhan geran berkenaan telah digunakan untuk membayar gaji dua pekerja sambilan harian.

Pada 5 Ogos, pihak audit katanya, telah dimaklumkan permohonan penggunaan baki geran berjumlah RM57,612 telah diluluskan Kementerian tetapi tiada bukti permohonan dipanjangkan kepada pihak Perbendaharaan untuk kelulusan.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Adoi….Apa lagi kes Songlap duit Negara.,lepas satu….satu kes salahguna DANA kerajaan yang sepatutnya di salur masuk ke dalam akaun perbendaharaan , timbul

    satu lagi kes membabitkan kerajaan Penyamun terdahulu.

Comments are closed.