Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (tengah) bergambar kenangan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti, Dr. Muhammad Naim Yaakub (tiga kiri) serta yang lain pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik di antara Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Rakan Industri Sektor Minyak dan Gas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 02 DISEMBER 2019.

PUTRAJAYA -Kerajaan perlu menjalankan kerjasama strategik bersama dengan rakan industri bagi merintis jalan revolusi Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, langkah itu perlu sebagai ‘batu loncatan’ masyarakat khususnya golongan belia dalam mencari kemahiran dan pengalaman.

“Sekiranya profesion perakaunan mempunyai ACCA, CIMA, MICPA dan lain-lain, saya berharap TVET dengan pemain industri minyak dan gas hari ini akan membawa kepada kumpulan berdedikasi yang berusaha untuk membuat pendidikan dan latihan dalam industri kelas dunia dan berpandangan ke hadapan.

“Ini adalah langkah pertama dalam jangka masa panjang dan langkah sukar untuk merevolusikan cara masyarakat kita belajar mengumpul pengetahuan, kemahiran dan pengalaman baru ketika mereka berkembang dengan aliran waktu,” katanya dalam ucapan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara KPM dan empat syarikat minyak dan gas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Tan Sr Dr Mohammad Naim Yaakob.

Empat syarikat berkenaan adalah Dynac Sdn Bhd, EEW Malaysia Sdn Bhd, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd dan Brooke Dockyard & Engineering Works Corporation.

Memorandum itu dimeterai bagi kerjasama memperluaskan akses dan peluang kepada graduan Politeknik dan Kolej Komuniti.

Untuk rekod, TVET ialah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.

Ia bertujuan menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu.

Tujuan TVET diperkenalkan adalah bagi memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, selaras dengan globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global. – MalaysiaGazette