KUALA LUMPUR – Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) menasihatkan kepada jentera di seluruh negara bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan berlaku bencana banjir.
Ketua Pengarahnya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat dengan cuaca bahaya peringkat merah dijangka berlaku berterusan sehingga hari ini di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu.
Katanya, hujan lebat dijangka melanda Kelantan di daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh, manakala dua daerah iaitu Besut dan Setiu di Terengganu.
“Hujan lebat juga dijangka berterusan sehingga hari ini dengan amaran cuaca buruk peringkat jingga di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Khairul Faizi, laporan terkini Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula menyatakan hujan lebat berterusan dijangka di daerah Jeli dan Kuala Krai di Kelantan; dan di Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman serta daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.
Hujan lebat dijangka berlaku sehingga hari ini dengan amaran cuaca waspada peringkat kuning dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Kelantan, Pahang dan Johor.
“Setiap Bilik Gerakan Bencana mesti dipastikan telah dilengkapi dengan peralatan dan aset pengoperasian dengan sebaiknya.
“Khidmat Malaysia Kelantan dan Terengganu telahpun mula turun membantu di lokasi yang terlibat dengan bencana banjir ketika ini,” katanya.
Kata beliau, Khidmat Malaysia melalui Bilik Gerakan Info Bencana (#InfoBencana) akan sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa bagi membantu menyampaikan maklumat dan bantuan di lapangan. – MalaysiaGazette
















