KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengatur satu Misi Peningkatan Eksport (EAM) ke Dhaka, Bangladesh untuk mempromosikan keupayaan Malaysia kepada perniagaan Bangladesh dalam kimia dan produk kimia.

Syarikat Malaysia yang mengikuti misi itu akan mempromosikan produk kimia berkualiti tinggi mereka kepada syarikat Bangladesh yang mahu mendapatkan produk agrokimia seperti racun perosak, bahan pencuci, bahan akrilik, filem solar optikal, perkhidmatan perlindungan alam sekitar, kimia perindustrian, kimia berkaitan pengurusan sisa dan perkhidmatan logistik.

“Peningkatan perindustrian di Bangladesh telah membawa kepada lonjakan besar permintaan terhadap kimia dan perdagangannya.

“Sebagai agensi penggalakan perdagangan negara, kami mahu memanfaatkan peluang ini serta membantu pengeksport kita, termasuk peserta dalam misi ini agar dapat merebut peluang besar dalam pasaran yang sedang berkembang ini,” kata Pengarah Matrade bahagian Minyak dan Gas, Kimia dan Tenaga, S Jai Shankar dalam satu kenyataan hari ini.

Misi tiga hari itu akan termasuk mesyuarat perniagaan yang diatur terlebih dahulu antara syarikat Malaysia dengan pembeli berpotensi serta mesyuarat meja bulat dan sesi perangkaian dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Malaysia (BMCCI), syarikat Malaysia di Bangladesh dan pihak berkuasa kastam dan pelabuhan Bangladesh.

Berdasarkan perangkaan oleh Bangladesh Bank, Bangladesh mengimport hampir US$2.06 bilion bernilai 2017 – 2018, yang jauh berbeza berbanding tempoh yang sama 10 tahun lepas, berjumlah hanya US$718 juta.

Sektor tekstil dan pakaian, yang bernilai US$30 bilion adalah antara pembeli utama kimia diimport yang digunakan bagi membasuh dan mencelup fabrik.

Selain daripada itu, kimia juga digunakan dalam industri farmaseutikal dan pemprosesan makanan.

Pada 2018, eksport kimia Malaysia ke Bangladesh meningkat sebanyak 0.7 peratus bernilai RM564.9 juta.

Produk kimia dieksport utama ialah plastik, kimia organik, produk kimia pelbagai, kimia pencelup, cat dan kimia tidak organik.

Syarikat Malaysia yang berminat untuk mengeksport ke Bangladesh atau pasaran lain di Asia Selatan boleh menghubungi Pejabat Perdagangan Matrade di Chennai dan Mumbai menerusi emel iaitu ke [email protected] dan [email protected]. – MalaysiaGazette