Muklis Muctar Besani ditahan bersama wang sebanyak Rp194.5 juta yang diperoleh daripada sumbangan orang ramai. fotO Agensi

JAKARTA – Agensi Kebajikan Soasial Selatan Jakarta menahan seorang pengemis yang memiliki wang sebanyak RP194.5 juta (AS$13,819) dalam satu serbuan di Gandaria, Jakarta Selatan.

Ini bukan kali pertama pengemis, yang dikenali sebagai Muklis Muctar Besani, 65, ditahan oleh agensi tersebut.

Pemangku ketua agensi itu, Mursyidin berkata, Muklis pernah ditangkap pada tahun 2017 dengan membawa sejumlah Rp86 juta.

Muklis telah dihantar ke Rumah Sosial Bina Insan Bangun Daya 1 di Kedoya, Jakarta Barat, yang sebelum ini ditempatkan pada tahun 2017 sehingga dia disatukan dengan keluarganya.

Pada ketika itu, lelaki itu diarah supaya tidak mengemis lagi dan dibenarkan menyimpan wang yang dikutip daripada orang ramai.

Prosedur sama turut dikenakan ke atas Muklis.

Musryidin berkata, wang Muklis akan hanya diserahkan jika keluarganya menjemput dia dari rumah kebajikan tersebut.

Anggota Petugas Sokongan Sosial, Pemantauan dan Kawalan, Muhammad Yunus yang menahan Muklis berkata, warga emas itu menafikan dia memperoleh wang daripada mengemis.

“Awalnya dia tidak mahu mengaku (wang hasil mengemis). Dia mendakwa memperoleh wang menerusi usaha sendiri. Tetapi itu mustahil kerana dia mendakwa tidak mempunyai ahli keluarga atau rumah di sini,” kata Yunus seperti yang dipetik oleh jakarta.tribunnews.com.

Muklis akhirnya mengakui bahawa dia mendapat wang daripada mengemis.

Kerajaan Indonesia telah berulang kali menggesa orang ramai supaya tidak memberi wang kepada pengemis. – Agensi