Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta yang lain berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2019.

PUTRAJAYA – Kerajaan mengakui faktor pencapaian kaum tidak sama rata di negara ini menjadi punca negara tidak maju, kata Perdana Menteri.

Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, negara sedang menghadapi pelbagai masalah dan faktor itu salah satu daripadanya.

“Malangnya pencapaian kaum-kaum tidaklah sama sementara ada satu kaum yang maju ke hadapan satu kaum yang lain ketinggalan di belakang keadaan yang semacam ini tidak sihat bagi sesebuah negara.

“Kalau ada terpisahnya kaum-kaum kerana kemajuan mereka dan kaum-kaum ini telah mencerminkan pencapaian mereka maka negara kita tidak akan selamat kerana jarak perpisahan antara miskin dan kaya memang pun menjadi satu masalah bagi mana-mana negara pun,” katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di perkarangan Perdana Putra hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Perpaduan, Waytha Moorthy dan Timbalan Menteri di Jabatan Persana Menteri, Fuziah Salleh.

Sebagai contoh, Mahathir menegaskan, negara Korea Selatan pada masa dahulu pernah berada di belakang Malaysia daripada segi pembangunan.

Malah menurut beliau, negara itu kini mempunyai pendapatan perkapita $36,000 dolar Amerika berbanding Malaysia yang cuma $10,000 dolar Amerika.

“Ini menunjuk betapa jauhnya mereka ke hadapan, saya tertanya-tanya kenapakah ini berlaku selepas Perang Dunia Kedua ataupun sebelum daripada itu.

“Kita dapati bahawa (dulu) negara-negara yang maju hanya terdapat di Eropah dan di Amerika, negara-negara di Asia tidak ada satu pun yang baik tetapi selepas Perang Dunia Kedua, kita lihat bagaimana Jepun dapat mengejar dan mendahului negara-negara Eropah,” katanya lagi.

Mahathir juga bimbang jurang pendapatan melebar antara golongan miskin dan kaya serta mengikut kaum akan mencetuskan gerakan revolusi serta keadaan huru hara.

Ia sekaligus mengakibatkan negara lebih mundur.

Justeru itu, Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dibentuk kerajaan bagi memastikan semua kaum menikmati kekayaan negara bagi mengurangkan kesenjangan golongan miskin dan kaya di negara ini.

“Kalau jarak antara miskin dan kaya menjadi terlalu jauh maka itu akan timbul perasaan iri hati dengki dan sebagainya oleh yang miskin kepada yang kaya lama-kelamaan mungkin dia akan mengambil tindakan yang tidak yang tidak mengikuti undang-undang negara.

“Sebab itu WKB 2030 ini menjadi satu dasar yang amat penting kerana tujuannya ialah untuk kita kurangkan jarak antara yang miskin dengan yang kaya antara satu kaum dengan kaum yang lain,” katanya lagi. -MalaysiaGazette