KUALA LUMPUR – Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) sedang memantau secara dekat tindakan nggota Persatuan Pemilik Bengkel Kenderaan Motor Pulau Pinang (PMVWOA) untuk menghentikan semua operasi menunda kes kemalangan di Pulau Pinang dan menutup bengkel mereka mulai 2 Disember 2019 hingga 9 Disember 2019.

Tindakan itu dikhuatiri akan mengganggu tahap perkhidmatan kepada pemandu.

“Kami ingin memaklumkan kepada semua pemegang polisi bahawa syarikat-syarikat anggota PIAM telah mengaktifkan pelan kontigensi masing-masing untuk meminimumkan gangguan dan kesulitan kepada orang awam. Sila hubungi syarikat insurans anda untuk maklumat lanjut,” kata PIAM menerusi satu kenyataan hari ini.

Meskipun begitu, PIAM berharap semua pihak yang terlibat akan mendapat penyelesaian yang baik untuk kepentingan masyarakat umum.

PMVWOA sebelum ini mengancam untuk melakukan mogok dalam protes terhadap monopoli bengkel francais oleh syarikat-syarikat pengeluar kereta.

PMVWOA berkata, selain menghentikan operasi trak tunda, mereka juga akan menutup bengkel pembaikan kereta.

“Pada 12 Nov, kami mengadakan pertemuan dengan semua ahli mengenai kesulitan industri penyelenggaraan.

“Selepas perbincangan, kami sebulat suara bersetuju untuk menutup operasi yang berkuatkuasa dari 2 Disember sehingga notis selanjutnya,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan semalam. – MalaysiaGazette