Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak menghalang bekas pengerusi tetap, Mizan Adli Mohd Noor untuk menghadiri Kongres yang akan diadakan di Melaka, Jumaat ini.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Mizan boleh hadir sebagai ahli parti dan bukan atas kapasiti bekas Pengerusi Tetap AMK.

“Ya, (boleh hadir) selagi dia adalah ahli parti. Itu niat peribadi beliau tapi daripada segi syarat untuk menghadiri Kongres AMK, dia kena jadi perwakilan dan juga merupakan anggota AMK.

“Jadi dari segi keadaan itu keputusan sudah disebut, bukan kita pecat atau gugurkan daripada segi kuasa. Tapi hanya hilang kelayakan.

“Saya faham pandangan dia tapi kita kena ikut peraturan dan teruskan untuk elak sebarang isu daripada ROS,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Akmal diminta mengulas mengenai kenyataan Mizan yang bertegas untuk hadir mempengerusikan kongres Pemuda PKR di Melaka walaupun jawatannya sebagai pengerusi tetap kongres AMK telah dilucutkan.

Mengulas lanjut, Akmal menasihatkan Mizan agar menghormati keputusan yang telah dibuat kepimpinan PKR.

Jelasnya, AMK tidak perlu campur tangan orang luar dalam mengendalikan kongres yang akan diadakan kelak.

“Yang hadir itu perlu ahli AMK, saya memang alu-alukan kehadiran AMK hadir ke kongres, jadi kalau beliau hadir sekarang nak lihat kongres sebagai anggota parti kita tidak terus katakan tidak boleh masuk. Itu kongres terbuka untuk ahli.

“Tapi kita kena hormat prosedur kongres dan bagi saya tidak isu dari segi AMK nak uruskan sendiri kongres ini daripada campur tangan luar,” katanya lagi. -MalaysiaGazette