KUALA LUMPUR – Tempoh mengehadkan jawatan perdana menteri (PM) selama dua penggal hanya berkuatkuasa selepas pindaan diluluskan, kata Datuk Liew Vui Keong.

Ini bermakna bekas PM termasuk Datuk Seri Najib Razak dan PM sekarang, Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh kembali memegang jawatan itu semula tapi pada kadar dua penggal sahaja, kata Menteri Jabatan Perdana Menteri itu.

Ini kerana pindaan itu tidak menghalang bekas PM memegang semula jawatan berkenaan, katanya ketika menjawab soalan wartawan.

“Sekiranya saya (contoh) memegang jawatan itu pada dua penggal, saya tidak akan layak (untuk jadi Perdana Menteri untuk penggal ketiga) bermakna mengehadkan tempoh,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, Vui Keong berkata, ia termaktub kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Pindaan ini hanya akan berkuatkuasa pada tarikh yang digazetkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan pindaan ini tidak akan menjejaskan tempoh sebelumnya (bekas-bekas Perdana Menteri),” katanya lagi.

Pindaaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan bagi jawatan perdana menteri selama dua penggal itu bagaimanapun akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat, Mac depan.

Pindaan melibatkan Perkara 43 Fasal 2 bagi mengadakan peruntukan berhubung kelayakan ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu, Pakatan Harapan telah memasukkan cadangan mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dalam manifesto mereka.

Ia bertujuan mengelak salah guna kuasa. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sesuai kah dap memerintah dimlysia ini yg sememang nye parti yg mempunyai fahaman kominis ini.kemn pergi kuah kalau tk kenasi..lu fikir la sendri..

Comments are closed.