KUALA LUMPUR – Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd (IPAM), sebuah subsidiari Berjaya Corporation Bhd telah melantik ahli ekonomi kewangan yang terkemuka, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, sebagai pemimpin baharunya.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Berjaya Corp Bhd (BCorp), Tan Sri Vincent Tan berkata Nazri Khan akan dapat meningkatkan bilangan pelabur, terutamanya daripada komuniti muslim kepada IPAM dan mempelbagaikan pelabur asas semasanya serta memperkenalkan produk-produk dana terbaharu ke dalam pasaran.

“Datuk Dr Nazri Khan merupakan seorang tokoh yang terkenal dan ahli ekonomi yang terkemuka di kalangan pelabur. Saya kagum dengan kejayaan beliau dalam menguruskan dana besar yang telah mencapai pulangan pelaburan sebanyak 17% dalam tempoh hanya lima bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nazri Khan adalah bekas Naib Presiden Kanan (Pelaburan) syarikat pengurusan dana, Phillip Capital Management serta bekas Ketua Pegawai Pelaburan pakar ekuiti swasta, Widuri Capital Sdn Bhd.

Sebelum itu, beliau merupakan Ketua Penyelidikan Peruncitan di Affin Hwang Investment Bank.

IPAM telah diperbadankan di Malaysia pada 24 Sept 1990, di bawah Akta Syarikat 1965 serta menjadi sebuah syarikat pengurusan dana berlesen di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan, 2007.- BERNAMA