KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menganjurkan Karnival Pekerjaan, Mini Karnival Pekerjaan dan Temuduga Terbuka khas kepada golongan pencari kerja OKU di Pejabat Perkeso Melaka, Johor, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Sabah.

Karnival tersebut diadakan sempena sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Sedunia.

Menurut Perkeso, pada karnival itu sejumlah 816 kekosongan jawatan ditawarkan oleh 24 buah syarikat.

“Perkeso sentiasa berusaha untuk memastikan golongan ini tidak ketinggalan di samping membantu dalam menyumbang ke arah pembangunan negara.

“Majikan-majikan yang hadir pada hari ini merupakan antara majikan yang prihatin serta menyokong penggajian golongan istimewa ini dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada
mereka,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, menurut kenyataan itu, Bengkel Employability atau Kebolehpekerjaan juga diadakan yang mana golongan pencari kerja OKU didedahkan dengan persediaan dan juga tips menghadapi temuduga.

Lanjutan daripada sambutan Hari OKU Sedunia ini, semua pencari kerja daripada golongan OKU juga dijemput hadir ke Mini Karnival Pekerjaan OKU PERKESO yang akan diadakan di Wisma PERKESO Kuala Lumpur pada 12 Disember 2019 bermula jam 8.00
pagi sehingga 4.00 petang, katanya.

Sebanyak sebanyak majikan menawarkan kekosongan jawatan antaranya ialah Intercontinental Hotel, 7 Eleven Sdn Bhd, Ninja Van Logistik dan BAC Special Jobs. – MalaysiaGazette